Rabu, 11 April 2012

Himpunan 13 April 'Isyarat Buat Rakyat' Tolak PSC Lynas, 11 Lokasi Seluruh Negara Adakan Serentak !

PAHANG DAILY


KUALA LUMPUR - Himpunan aman besar-besaran yang akan diadakan serentak di 11 lokasi seluruh negara selepas solat Jumaat, 13 April ini bakal menjadi isyarat jelas menunjukkan pendirian tegas rakyat Malaysia menolak penubuhan PSC Lynas sebagai tipu helah untuk melengah-lengahkan pembatalan projek Lynas.

Menurut Gabungan Solidariti Hijau SeMalaysia- Stop Lynas (SHS-SL) lokasi-lokasi yang disenaraikan antaranya Dataran Shah Alam (Selangor dan Kuala Lumpur), Masjid Al-Fatah, Batu 3 Kuantan (Pahang), Tapak Kilang Are bukit Merak (Perak), Masjid Permatatng Janggus, Permatang Pauh (Pulau Pinang), Masjid Pengadang Baru Kuala Terengganu (Terengganu), Masjid Al-Azim (Melaka), Masjid Daerah Batu Pahat (Johor), Dataran Jam Besar, Sungai Petani (Kedah), Taman Tasik Seremban Hadapan Masjid Negeri (Negeri Sembilan), Dataran Ilmu Kota Bharu (Kelantan) dan Masjid At Takwa, Miri (Sarawak).

Himpunan di Kelantan akan dimulakan selepas kuliah mingguan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada jam 10.30 pagi.

Jurucakap SHS-SL, Zulkefly Mohamad Omar (foto) berkata, pehimpunan aman ini bertujuan mematahkan putar belit pihak tertentu yang cuba memomokkan bahawa kempen hentikan Lynas ini cuma sekadar isu terpencil yang hanya melibatkan masalah tempatan penduduk Kuantan semata-mata.

Tambahanya, kerajaan cuba menyekat kemarahan rakyat dengan mewujudkan PSC, walhal jawatankuasa itu bertujuan mengalihkan tumpuan, kritikan dan perhatian terhadap isu berkenaan.

"Dari pusat kuasa pemutus di Putrajaya ke arah mewujudkan jawatankuasa lemah dan tanpa kuasa dengan matlamat utama menyediakan ruang (kononya saluran sah) bersuara supaya dapat meredakan penentangan lantas menyejukkan kemarahan rakyat," katanya dalam sidang media yang diadakan di Pejabat Agung PAS.

Beliau turut mempersoalkan mengapa hanya setelah projek itu hampir 95 peratus selesai dan setelah syarikat Lynas dianugerahkan Temporary Operating Licence (TOL) baru ditubuhkan jawatankuasa yang kononya mengkaji kes ini? Himpunan itu juga sebagai membina momentum dan sokongan menjelang Himpunan Hijau 3.0 dan Bersih 3.0 yang akan diadakan serentak pada 28 April 2012 nanti.


Beliau turut meminta orang ramai turun beramai-ramai bagi menyertai himpunan aman tersebut sebagai satu langkah sokongan terhadap usaha membantah pembinaan Lynas dan projek-projek lan seumpamanya di negara ini. Zulkefly turut menangkis dakwaan beberapa pemimpin BN yang mengatakan isu Lynas ini merupakan isu penduduk Pahang dan orang Cina.

"Ini bukan isu orang Cina, jika inilah dakwaan mereka ia satu yang mendukacitakan. Rakyat Kuantan 90 peratus adalah Melayu sudah tentulah ianya adalah berkaitan dengan orang Melayu, apa yang penting isu ini adalah isu bersama semua terlibat kerana ia membabitkan soal kesihatan rakyat negara ini,"
katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Progresif India Malaysia, AP Raja Retinam berkata, Gabungan Solidariti SeMalaysia ini tidak takut dengan gertakan oleh mana-mana pihak yang cuba menghalang tindakan mereka. Malah beliau turut dimaklumkan pihak Lynas Coporation mendesak NGO yang terlibat membantah projeknya, memohon maaf kepada Lynas kerana menyifatkan tindakan NGO terbabit tidak betul.

"Kita harus bersatu, kita minta NGO lain terus bersama-sama dengan kita. Kita tidak gentar dengan ugutan Lynas itu, " katanya. Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Mohd Zaini berkata, hampir 90 peratus penduduk tempatan tidak bersetuju dengan adanya kilang Lynas di kawasan mereka.

"Pihak kami ada membuat tinjauan dan berjumpa dengan hampir setiap penduduk di situ rata-rata mereka kecewa dengan kerajaan yang meluluskan pembinaan dan operasi kilang Lynas, " katanya.

SHS-SL adalah gabungan daripada 23 Ngo di seluruh negara antaranya, Badan Bertindak Anti-Rare Earth (BADAR), Stop Lynas Coalition (SLC), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Asalkan Bukan Umno (ABU), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Himpunan Hijau dan Green Clean World. Pada 26 Feb lalu, satu himpunan besar-besaran berjaya diadakan di Padang MPK, Kuantan dengan penyertaan puluhan ribu rakyat yang terdiri dari pelbagai kaum.

Selain di Kuantan, bantahan tersebut juga diadakan serentak di Pulau Pinang, Sarawak, Perak dan juga Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: