Jumaat, 13 April 2012

Harun Taib : Buktikan Di Mana PAS Menyeleweng




SHAH ALAM : PAS menyelar tindakan Umno-BN Terengganu yang mendakwa perjuangan parti itu selama ini mengandungi perkara-perkara yang mencelarukan akidah umat Islam.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, pihaknya menuntut bukti sekiranya benar PAS menyimpang dari perjuangan parti itu selama ini dan mencelarukan akidah umat Islam lain seperti yang didakwa.

Katanya, pihak yang menuduh PAS sebagai Parti Ajaran Sesat itu adalah pihak yang tidak tahu menahu maksud sebenar yang dikatakan sesat.

“Sesat itu banyak sama ada agama ataupun politik, jika pihak yang mengeluarkan kenyataan itu merupakan tokoh yang baik-baik mungkin kita boleh memberi maklum balas tapi kita sendiri pun tahu mereka orang yang macam mana,” katanya ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Harun yang juga Ketua Majlis Syura berkata, pihaknya tidak akan melayan sebarang dakwaan dan spekulasi dari pihak mereka.

“Mereka (Umno-BN) mempunyai kuasa, mereka boleh buat apa sahaja, mereka mempunyai televisyen dan surat khabar arus perdana yang menyokong mereka, jadi kita mengalu-alukan mereka meneruskan dan menyebar dakwaan itu dalam program mereka.

“Rakyat boleh menilai apa yang sahaja yang mereka sebarkan,” katanya.

Dakwaan itu dibuat melalui program wacana PAS ‘Parti Ajaran Sesat’ yang dianjurkan Badan Perhubungan Umno Terengganu bertempat di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu akan diperluaskan ke negeri lain.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Yahya Khatib Mohamad mendakwa program itu juga akan menjadi tapak supaya orang ramai menolak PAS.

Tiada ulasan: