[TERKINI] BANDA ACEH - Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) mengesahkan gempa bumi kuat di utara Aceh petang tadi telah mencetuskan tsunami dan gelombang tsunami sudah mula bergerak ke arah pantai Aceh tetapi impaknya masih belum jelas.
Sehubungan itu, agensi tersebut telah menasihatkan pihak berkuasa negara-negara di rantau Lautan Hindi supaya mengambil tindakan sewajarnya.
Kawasan Aceh seringkali dilanda gempa bumi. Gegaran paling buruk, yang berlaku pada Disember 2004, telah meragut 170,000 nyawa di Aceh.
Seorang pegawai dipetik Reuters berkata, dua jam selepas gempa bumi pada ukuran 8.7 melanda barat laut Aceh, tsunami 17 sentimeter (6.7 inci) sudah mula dikesan dan sedang menuju ke arah pantai Aceh.
Gegaran susulan pada ukuran 6.5 juga dirasai tetapi Presiden Indonesia berkata tiada laporan kerosakan atau kematian di Aceh setakat ini.
Pegawai-pegawai Thailand juga mengeluarkan amaran berpindah di kawasan-kawasan tumpuan pelancong di Phuket dan Phangnga serta di beberapa wilayah di sepanjang pantai.
Pihak berkuasa India juga meletakkan amaran di peringkat merah bagi kepulauan Andaman dan Nicobar, dan amaran peringkat rendah di Andhra Pradesh dan Tamil Nadu. Ia antara kawasan dilanda tsunami pada Disember 2004.
Malaysia dan Sri Lanka juga telah meminta penduduknya agar mengelak kawasan pantai.
Penduduk di Aceh memberitahu gegaran dirasai untuk tempoh yang lama.
"Ia bermula dengan gegaran kecil dan kemudian menjadi kuat," demikian menurut seorang korespoden AFP. Gegaran dirasai kira-kira lima minit.
Gempa bumi 8.7 hari ini tercetus di kawasan yang sama tragedi 26 Disember 2004. Gempa bumi lapan tahun lalu dianggarkan berukuran 9.1.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan