Khamis, 5 April 2012

Ganti kepimpinan FAM dengan yang lebih segar

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bersetuju dengan pandangan sesetengah peminat yang mahu kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) diganti oleh generasi baru dan lebih segar.

Beliau mengulas tindakan FAM menggantung Pengerusi Kesatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.

Sebelum kes Annuar Musa, bekas lagenda bolasepak negara, Abdullah Ali juga membuat cadangan yang sama.

Sebelum hukuman dijatuhkan ke atas Annuar Musa, sekumpulan peminat bolasepak Kelantan membuat bantahan tindakan mengheret Annuar ke jawatankuasa disiplin Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Menurut rakaman yang disiarkan oleh Astro Awani, mereka juga menuntut Presiden FAM meletakkan jawatan kerana membuat kenyataan Annuar bersalah sebelum dijatuhkan hukuman oleh jawatankuasa disiplin FAM.

Semalam Jawatankuasa Tatatertib FAM memutuskan Annuar digantung 30 bulan atau dua tahun setengah daripada sebarang aktiviti bola sepak di peringkat nasional dan negeri berkuatkuasa serta-merta.

Dengan hukuman itu juga bermakna Annuar tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang aktiviti badan induk bola sepak negara, serta dalam aktiviti Kafa.

Hukuman itu diputuskan selepas jawatankuasa mendapati Annuar bersalah membuat kenyataan akhbar berbau negatif mengenai skuad bola sepak negara yang melanggar Artikel 88, Statut FAM edisi 2010-2014 pada 12 Feb lepas.

"Apa yang berlaku kepada Annuar walaupun beliau daripada parti berlainan dengan saya tapi saya penuh simpati dan memahami tekanan yang dihadapi oleh beliau seperti mana juga yang dialami oleh Khairy Jamaluddin pernah merasai dahulu.

"Kafa perlu berbincang dan kita harap semoga masih ada jalan keluar agar potensi dan kemampuan Annuar dalam pasukan Kelantan dapat diteruskan, bukan terbantut dalam keputusan yang cukup mengecewakan," kata Wan Abdul Rahim .

Beliau berpendapatan, masih ada cara lain untuk menyelesaikan kemelut FAM itu selain menggantung Annuar.

Ini kerana, pengalaman Annuar yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan sangat diperlukan untuk memajukan bola sepak negara.

Nilai semula keputusan

Sementara itu Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Abdul Fatah Mahmood pula mengharapkan FAM boleh menilai semula hukuman penggantungan Annuar itu.

Menurutnya, hukuman itu sangat berat untuk diterima oleh penyokong bola sepak negara khususnya rakyat Kelantan dan peminat The Red Warriors itu sendiri memandangkan Annuar juga adalah Presiden Kafa.

"Mewakili rakyat Kelantan dan peminat The Red Warriors kita menerima keputusan ini dengan sangat berat.

"Kita rai keputusan jawatankuasa tatatertib. Cuma kita harap ada satu ruang yang lain diberikan kepada beliau untuk memperbetulkan kelemahan," katanya kepada Harakahdaily.-Harakahdaily

Tiada ulasan: