Khamis, 26 April 2012

Demo PTPTN: UM dakwa 3 pemimpin SMM

Wartawan Sinar Harian

Logo PTPTN


SHAH ALAM - Tiga penuntut Universiti Malaya (UM), yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan demonstrasi menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di ibu negara dua minggu lalu, berhadapan dengan tindakan disiplin di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

Tiga penuntut itu terdiri daripada Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang, Setiausahanya Haziq Abdullah Abd Aziz dan Pengerusi Malaysia Bangkit, Mohd Syahid Zaini menerima notis tindakan disiplin hari ini.

Jika ketiga-tiga mereka dikenakan tindakan Auku, penuntut terbabit adalah individu atau kumpulan pertama didakwa di bawah undang-undang itu yang dipinda baru-baru ini.

Satu sidang media akan diadakan di Dataran Merdeka petang ini berkenaan isu itu.

Ketika mengesahkan perkara itu hari ini, Setiausaha Media SMM, Ahmad Shukri Kamarudin berkata, Haziq, Safwan dan Syahid menerima surat pertuduhan di bawah AUKU kerana terlibat dalam demo PTPTN 14 April.

"Mereka dikenakan tuduhan di bawah Seksyen 16C Auku bawah kaedah 3(a)(i) dan 3(a)(ii)," kata beliau ketika dihubungi.

Ketiga-tiga mereka dikenakan tuduhan memalukan universiti dan memudaratkan ketenteraman awam.
"Bicara ke atas mereka akan didengar 3 Mei ini," katanya lagi.

Safwan, yang juga Presiden Persatuan Pelajar Islam UM, mengetuai SMM bulan lalu

Safwan mengetuai kira-kira 300 mahasiswa mengadakan perarakan dari Kompleks Membeli-belah Sogo ke Dataran Merdeka pada petang 14 April lalu. Sejak itu, sebahagian daripada mereka berkhemah di Dataran Merdeka menuntut agar PTPTN dimansuhkan.

Tiada ulasan: