Selasa, 24 April 2012

DBKL rampas khemah, usir aktivis dari Dataran Merdeka

 
 
KUALA LUMPUR— Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini merampas peralatan khemah milik aktivis Occupy Dataran dan mengusir mereka dari Dataran Merdeka.

Kumpulan aktivis berkenaan mendakwa, pegawai DBKL datang pada jam 6.15 pagi ketika mereka sedang tidur dan merampas kesemua peralatan perkhemahan mereka.

“DBKL datang pukul 6.15pagi ketika semua occupiers sedang tidur dan merampas semua barang termasuk khemah.

“DBKL memagar kawasan perkhemahan dan menghalau semua occupiers keluar dari kawasan,” kata pergerakan itu di laman Twitter, @occupydataran.

Dua hari lalu, pegawai DBKL bersama sepasukan anggota polis telah merampas khemah dan menahan dua aktivis. Seorang daripada mereka telah didakwa di mahkamah semalam atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Ye, memang itu yang berlaku. DBKL datang ketika kami sedang tidur dan merampas peralatan kami.
“Mereka sekarang sedang menghalau semua orang. Saya dalam perjalanan ke dataran untuk mendapatkan maklumat lanjut,” kata penganjur Occupy Dataran, Aruna Sena, kepada The Malaysian Insider.

Occupy Dataran memperjuangkan ruang demokrasi uuntuk masyarakat.

Tapak perkhemahan itu turut dikongsi aktivis mahasiswa yang menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), namun mereka telah diarahkan mengosongkan kawasan berkenaan untuk program Konsert Diraja.

Tiada ulasan: