Selasa, 17 April 2012

Dapat geran kediaman selepas 14 tahun

Harakahdaily,


SHAH ALAM: Penduduk Pangsapuri Kayangan kini mampu menarik nafas lega apabila penantian selama 14 tahun untuk memperolehi geran kediaman mereka akan berakhir tidak berapa lama lagi.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A. Samad kejayaan tersebut adalah kejayaan penduduk Pangsapuri Kayangan, lapor Media Selangorku.

"Saya nak ucapkan tahniah kepada penduduk kerana kerja ini adalah satu kerja yang rumit sebenarnya.

"Tetapi dengan usaha penduduk, JMB (Badan Pengurusan Bersama) Pangsapuri Kayangan, kerajaan negeri dan Pejabat Tanah dan Galian telah membuahkan hasil hari ini," ujar beliau.

Iskandar turut memberitahu, mana-mana pemaju di negeri Selangor yang engkar atau sengaja melengah-lengahkan permohonan geran kepada pembeli rumah akan dikenakan tindakan saman.

"Dalam negara ini, hanya dua negeri yang telah mengambil tindakan kepada pemaju yang gagal menyerahkan geran kepada pembeli rumah dan dua kerajaan negeri tersebut adalah Selangor dan Pulau Pinang.

"Pakatan Rakyat tidak memandang ringan terhadap isu ini, tindakan tegas akan diambil," ujarnya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penyerahan Strata Roll Kepada Pemaju di Pangsapuri Kayangan, Taman Sri Subang.

Menyentuh isu yang sama, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh pula memaklumkan penyerahan geran hakmilik kini telah sampai di peringkat akhir sebelum di serahkan kepada pemilik kediaman Pangsapuri.

Menurutnya kejayaan ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang ada hari ini telah berusaha untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad pula menyifatkan majlis hari ini merupakan satu program yang bersejarah kerana ianya merupakan langkah akhir sebelum penduduk boleh memiliki geran strata kediaman yang mereka beli.

Penasihat JMB Pangsapuri Kayangan, Micheal Lim Giat Eng pula memberitahu, pihak pemaju telah sengaja menambah keluasan sebenar kawasan pangsapuri tersebut yang membolehkan pemaju terbabit memperolehi keuntungan atas kutipan cukai tanah dari pemilik hartanah.

Micheal turut memberitahu dua laporan polis telah dibuat ke atas pemaju yang tidak disebutkan namanya.

Sementara itu, penduduk pangsapuri terbabit, Sue Ann, 50 tahun menyatakan rasa gembira apabila geran strata akan diperolehi dalam jangkamasa terdekat.

"Gembira, rasa tak boleh cakap sebab memang dah lama kita tunggu. Saya beli rumah di sini masa mula-mula buka dulu tetapi sudah tunggu sangat lama baru sekarang boleh dapat geran," katanya.

Terdahulu dalam majlis yang sama, wakil dari Pejabat Tanah dan Galian telah menyerahkan Master Starata Roll kepada Iskandar.

Dalam upacara yang sama, Iskandar turut menyerahkan Master Strata Roll tersebut kepada tiga wakil penduduk Pangsapuri Kayangan.

Selain Iskandar, Gwo-Burne Loh dan Nik Nazmi turut hadir dalam upacara tersebut adalah Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Kelana Jaya, Syed Shahir Syed Mohamud.

Tiada ulasan: