Rabu, 18 April 2012

BN Tapis Calon Berpotensi Selepas 30 April



PETALING JAYA: Penapisan terhadap calon-calon berpotensi Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum akan bermula selepas tarikh akhir yang ditetapkan untuk parti-parti komponen mengemukakan senarai mereka pada 30 April.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pucuk pimpinan memerlukan masa untuk menapis calon-calon.

"Kami akan menapis calon yang berpotensi sepenuhnya untuk memastikan mereka yang dipilih tidak dicemari oleh persepsi skandal atau rasuah.

"Kami mahu meletakkan calon-calon yang mampu menang untuk bertanding," kata Tengku Adnan, yang juga Ketua Setiausaha Umno.

Beliau berkata Umno bahagian telah mengemukakan senarai mereka, dengan beberapa nama untuk dipilih untuk setiap kerusi, termasuk yang bukan memegang jawatan.

"Ini menunjukkan bahawa mereka telah mengikut isyarat presiden parti (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang mencadangkan supaya menamakan calon-calon boleh menang," kata Tengku Adnan.

Tengku Adnan berkata BN telah bersedia untuk pilihan raya umum dan mereka telah mula memasang sepanduk dan bendera selain menunggu arahan daripada kepimpinan tertinggi.

DI PULAU PINANG, Umno negeri berkata, kira-kira dua pertiga daripada nama-nama yang dikemukakan kepada ibu pejabat parti itu adalah muka-muka baru.

"Kami telah memberikan 45 nama bagi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 12 untuk empat kawasan parlimen yang Umno akan bertanding," kata Setiausaha Umno Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim.

Umno memegang 11 kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen di Pulau Pinang.
Kerusi selebihnya, yang terdiri daripada 40 kerusi DUN dan 13 kawasan parlimen, dimenangi oleh Pakatan Rakyat pada tahun 2008.

Difahamkan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang merupakan Ahli Parlimen Kepala Batas, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, berada dalam senarai.

Di KEDAH, difahamkan senarai itu terdiri daripada pemegang jawatan yang kebanyakannya sedia ada.

Barisan memenangi hanya empat kerusi parlimen dan 14 kerusi DUN di Kedah semasa pilihan raya umum lepas.

Negeri ini mempunyai 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN.

Di PUTRAJAYA, Setiausaha Agung MCA Datuk Seri Kong Cho Ha berkata parti itu telah memuktamadkan senarai calon.

Beliau menambah bahawa akan ada muka-muka baru dan gabungan yang baik dari sayap Pemuda dan Wanita.

Di KOTA SAMARAHAN, Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, beberapa calon baru akan disyorkan.

"Saya sedang menyediakan senarai dan akan siap apabila Perdana Menteri mahukannya," katanya.

Tiada ulasan: