Khamis, 26 April 2012

Bersih 3.0 ibarat diberi betis nak paha

 
Menurut Presiden Perkasa, jawatankuasa bertindak Bersih 2.0 sepatutnya bersyukur dengan keterbukaan kerajaan.




KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali hari ini mengkritik tindakan Jawatankuasa Bertindak Bersih 2.0 yang berkeras mahu mengadakan perhimpunan duduk bantah di Dataran Merdeka pada hari Sabtu ini.

“Mereka ini diberi betis nakkan paha. Otak mereka tak sihat. Mereka orang yang suka langgar undang-undang,” kata Ibrahim di dalam satu sidang media di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa Jawatankuasa itu sepatutnya bersyukur dengan sikap keterbukaan kerajaan terutamanya dengan penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata begitu sebagai respon kepada Jawatankuasa Bertindak Bersih 2.0 yang enggan menerima cadangan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail untuk mengadakan himpunan Bersih 3.0 di tiga buah stadium sebagai alternatif.

Tiga stadium itu ialah Stadium Badminton dan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras serta Stadium Titiwangsa di Taman Tasik Titiwangsa.

‘Raja Berdaulat, Kasih Dijunjung’

Sebelum itu, Ibrahim mengumumkan bahawa Perkasa akan menganjurkan perhimpunan ‘Raja Berdaulat, Kasih Dijunjung’ pada pagi Ahad ini.

“Ia bertujuan untuk menunjukkan taat setia kepada Yang Dipertuan Agong sempena pertabalan Seri Paduka. Ia adalah penting untuk memberi kesedaran kepada generasi muda peri pentingnya kita memperkasakan institusi beraja,” jelas Ibrahim.

Selain itu beliau menambah bahawa perhimpunan Raja Berdaulat yang melibatkan semua kaum juga bertujuan untuk memberi amaran kepada pihak-pihak yang dikatakan kurang sopan ketika pertabalan Agong pada awal bulan ini.

“Walaupun Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim anggap perkara ini remeh, institusi raja berperlembagaan tidak boleh dipersenda dalam apa cara sekali pun,” kata Ibrahim.

Tiada ulasan: