Bapa kepada wanita Mongolia yang dibunuh kejam enam tahun lalu, Setev Shaariibuu berkunjung ke Malaysia hari ini untuk bertemu peguam dan kumpulan aktivis hak asasi.
Menurut peguam Setev di Ulaanbaatar, Munkhsaruul Mijiddorj, professor di universiti Mongolia itu berada di Singapura selama dua hari sebelum tiba di Kuala Lumpur untuk kunjungan tiga hari.
Munkhsaruul berkata kunjungan itu merupakan lawatan tidak rasmi dan Shaariibuu bersama dua pegawai Mongolia akan menemui beberapa individu untuk berbincang mengenai kes saman ke atas kerajaan Malaysia.
Munkhsarul, dalam satu e-mel berkata demikian dengan merujuk kepada saman RM100 juta yang difailkan Setev dan juga dua anggota polis yang didapati bersalah kerana membunuh wanita tersebut, Altantuya.
Setev memfailkan kes tersebut pada Jun 2007 untuk menuntut kerugian atas seksaan zahir dan batin yang dialami isterinya dan dua anak Altantuya atas kematian anak sulungnya itu.
Difahamkan, Setev bercadang untuk bertemu peguamnya, Karpal Singh dan bertemu dengan aktivis hak asasi Suaram.
Suaram sebelum ini memfailkan saman ke atas syarikat pertahanan laut Perancis, DCNS kerana didakwa membayar sogokan berjumlah jutaan ringgi kepada pegawai tinggi kerajaan Malaysia berhubung pembelian kapal selam Scorpene.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan