Jumaat, 13 April 2012

Banjir Kampar: Jumlah mangsa meningkat

NOOR AINON MOHAMED YUSOF

KAMPAR - Jumlah mangsa banjir Kampar yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara meningkat kepada 1,166 orang hari ini berbanding 1,145 orang semalam.

Sinar Harian difahamkan, meskipun jumlah mangsa di pusat pemindahan meningkat, keadaan banjir di enam kampung terkawal dan paras air yang sebelum ini mencecah lebih tiga meter mula surut.

Dalam pada itu, jurucakap Bilik Gerakan Banjir dipetik Bernama berkata, seramai 862 orang ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar dan selebihnya di Dewan Pulau Bergading.

Antara kampung terlibat banjir ialah Kampung Melayu, Kampung Baru, Kampung Pasir, Kampung Nyior, Jeram, Kampung Mesah, Kuala Dipang, Changkat Jering dan Kampung Batu 20.

Hujan lebat kelmarin menyebabkan air Sungai Kampar melimpah dan membanjiri kampung terlibat.

Menurut laporan Bernama lagi, air masih bertakung di kawasan terlibat berikutan hujan lebat malam tadi.

Sementara itu, pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Sungai Segar yang menempatkan 39 mangsa banjir di Ijok, Selama ditutup pagi ini apabila kesemua mangsa pulang ke rumah masing-masing.


Tiada ulasan: