Kumpulan mahasiswa tetap tegas menolak Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) walaupun cadangan pindaan bagi membuka ruang berpolitik lebih besar sudah dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin lalu.
Bagi mereka, sekadar meminda Seksyen 15(2)(c) bagi membenarkan mahasiswa menjadi ahli dan bergiat dalam parti politik sahaja tidak cukup, sebaliknya AUKU harus dimansuhkan terus.
Aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim (kiri) berkata, isu pindaan itu tidak timbul sekiranya mahasiswa diberikan hak autonomi di universiti.
Bagi yang terkenal kerana menurunkan bendera Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata, kebebasan mengkritik mahasiswa dalam isu-isu politik lebih penting daripada penyertaan dalam kegiatan parti politik.
"Kita bukan minta masuk berpolitik (kepartian). Kita hanya minta idea-idea kita didengari dan kita boleh mengkritik parti politik. Ini yang cuba kita ketengahkan," katanya.
Pindaan ke atas Seksyen 15, AUKU dibentangkan pada 9 April bagi membenarkan pelajar mendaftar sebagai ahli dalam parti politik.
Bagaimanapun, pindaan itu menetapkan supaya pelajar yang mempunyai jawatan dalam parti politik dihalang daripada bertanding dalam pemilihan kampus dan memegang jawatan dalam pertubuhan pelajar di kampus.
Sementara itu, Setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Haziq Abdullah Abd Aziz berkata pindaan sebenar "tidak cukup" untuk memberi kebebasan dan masih mengekang mahasiswa untuk berpolitik.
"Kalau pindaan pun, masih ada kekangan. Kalau betul (kerajaan) nak berikan kebebasan, kenapa perlu ada limitasi. Kalau nak betul-betul memberi kebebasan, mansuhkan AUKU," katanya Haziq yang kepada Malaysiakini ketika ditemui di Shah Alam semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan