Selasa, 17 April 2012

Anwar mahu PSC kaji akta ganti ISA

SINAR HARIAN

Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) ditubuhkan untuk mengkaji semula rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana disifatkan masih terdapat ketidakadilan terhadap hak asasi manusia.

Walaupun menyambut baik usaha kerajaan untuk memansuhkan ISA, Anwar sebaliknya mendakwa beberapa peruntukan yang terkandung dalam Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 itu dilihat 'lebih keras' berbanding ISA.

"Kita sambut baik keputusan membatalkan ISA kerana ini memenuhi tuntutan kita selama ini. Tapi apa yang kita bantah ialah pengenalan peruntukan yang lebih keras daripada ISA seperti syarat baru iaitu mesti rujuk kepada mahkamah jika polis ingin menahan semula orang yang ditahan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau mengulas pembentangan bacaan kali kedua Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi menggantikan ISA oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Antara lain, rang undang-undang itu menyebut "tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya." - Bernama

Tiada ulasan: