PKR belum memutuskan untuk menyertai pertemuan kumpulan Barisan Bertindak Hindu (Hindraf) bagi menerangkan polisi 100 hari Pakatan Rakyat terhadap kaum India yang miskin jika menguasai Putrajaya.
Sebaliknya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepimpinan parti itu akan berbincang terlebih dahulu sebelum berbuat demikian.
"(Saya akan) bincang dengan pemimpin parti (terlebih dahulu)," kata ketua umum PKR itu.
Beliau mengulas gesaan pemimpin Hindraf P Uthayakumar yang mahu pemimpin utama Pakatan Rakyat menerangkan polisi pembangkang kepada masyarakat miskin India.
Perjumpaan itu dijadual berlangsung pada 22 April ini di Klang.
Anwar ditemui pemberita selepas menghadiri majlis dialog bersama delegasi tokoh politik Indonesia ke Selangor, yang diketuai mantan menteri koperasi dan usahawan kecil dan menengah Adi Sasono di Shah Alam.
Uthayakumar membuat desakan kerana menurutnya Pakatan perlu menjelaskan apa yang mahu dilakukan untuk menangani dakwaan layanan tidak adil BN selama 55 tahun mentadbir Malaysia.
Undangan rasmi dilaporkan sudah dihantar kepada Anwar, pemimpin veteran DAP Lim Kit Sian dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan