Rabu, 18 April 2012

Anak Taib calon MP Kota Samarahan?

 
Seorang penduduk menyifatkan Taib Mahmud sebagai bapa pembangunan Sarawak dan pencalonan anaknya Mahmud dapat meneruskan perjuangan politik bapanya. 




ASAJAYA: Dato’ Sri Mahmud Abu Bekir Taib, anak Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud disarankan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk kawasan Parlimen Kota Samarahan pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Hasrat itu disuarakan oleh majoriti golongan petani di Kampung Rebak di sini hari ini yang menyatakan sokongan kepada beliau menerusi kain rentang.

Kain rentang itu tertulis: ‘Kami pengundi akar umbi P197 Kota Samarahan mencadangkan Dato Sri Mahmud Abu Bekir Taib sebagai calon dalam pilihan raya yang akan diadakan dalam masa terdekat ini, mewakili BN (PBB) di kawasan kami, kami memberi sokongan yang penuh’.

Haji Jais Deli, 81, dari Kampung Asajaya Ulu berkata, rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Asajaya menyokong Mahmud sebagai calon di kawasan itu pada pilihan raya Parlimen akan datang.

Beliau yang menyifatkan Taib sebagai bapa pembangunan Sarawak menyatakan pencalonan anaknya Mahmud dapat meneruskan perjuangan politik bapanya yang cukup rapat dengan rakyat di kawasan itu.

“Pemilihan Mahmud amat sesuai untuk meneruskan legasi perjuangan bapanya membawa pembangunan kepada masyarakat di Bahagian Samarahan, lagi pun dia masih muda dan sangat berkaliber untuk menjadi seorang pemimpin,” katanya.

Idris Ulin, 45 berkata, Mahmud merupakan individu terbaik untuk meneruskan pembangunan di Bahagian Samarahan.

Menurutnya, walaupun kawasan lain turut menaruh harapan yang tinggi untuk mencalonkan Mahmud dalam pilihan raya kali ini keutamaan harus diberi kepada Parlimen Kota Samarahan.

“Mahmud adalah seorang anak muda yang berwibawa, berpendidikan tinggi, berpengaruh dan lahir dalam keluarga politik yang dapat meneruskan kesinambungan pembangunan di Bahagian Samarahan,” ujarnya.

Katanya, bapa beliau Taib cukup dekat di hati masyarakat Bahagian Samarahan kerana telah banyak membawa pembangunan seperti yang dikecapi penduduk pada hari ini.

Tiada ulasan: