Rabu, 18 April 2012

Anak muda harus sertai Bersih 3.0

Roketkini.com




KUALA LUMPUR – Gabungan Anak Muda dan Mahasiswa Malaysia menyeru seluruh anak muda Malaysia menghadiri perhimpunan duduk bantah secara aman Bersih 3.0 yang akan berlangsung 28 April ini bertempat di Dataran Merdeka bermula jam 2 petang.

Gabungan yang terdiri dari 39 kumpulan anak muda dan mahasiswa ini juga menyeru seluruh rakyat Malaysia yang prihatin agar menggunakan segala kemahiran dan saluran teknologi untuk menyuarakan tuntutuan pilihan raya bersih dan adil kepada kerajaan.

Menurut jurucakap gabungan itu, Mohd Syahid Zaini, antara sebab utama gesaan berhimpun duduk bantah Bersih 3.0 itu adalah bagi membersihkan keraguan yang banyak wujud dalam senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Sekiranya tidak dibersihkan, ia bererti pilihan raya itu kotor, tipu dan tidak adil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, antaranya adalah pembongkaran dari Merdeka Centre yang menyatakan bahawa 32% pengundi dalam senarai daftar undi tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Katanya, satu laporan badan bebas yang mendedahkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 6,000 kes pengklonan daftar undi di Selangor serta kes melibatkan pemberian kad pengenalan ‘segera’ kepada warga asing yang direkodkan di beberapa tempat di Selangor.

Selain itu, beliau menganggap penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai pembaikan proses pilihan raya sebagai satu sandiwara kerajaan kerana mendakwa SPR tidak memiliki iltizam untuk melaksanakan tuntutan rakyat yang telah pun disuarakan melalui Bersih 2.0. – Roketkini.com

Tiada ulasan: