Rabu, 18 April 2012

Akta Mesin Cetak: Kuasa menteri digugur

ARHIZA AHMAD

KUALA LUMPUR - Kuasa menteri bagi meluluskan sesuatu permohonan lesen penerbitan akan digugurkan dalam pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, dalam Fasal 2 Rang Undang-undang ia bertujuan memansuhkan kuasa menteri bagi menetapkan sah sesuatu lesen.

Menurutnya, menerusi pindaan Seksyen 3 menteri mempunyai kuasa untuk menolak mana-mana permohonan untuk mendapatkan lesen.

Ini bermakna menteri berkuasa untuk membatalkan atau menggantung pada bila-bila masa sesuatu lesen yang diluluskan bagi tempoh masa yang difikirkan wajar.

Melalui Fasal 5 bagi meminda Subseksyen 13A(1) akan membenarkan permohonon untuk mencabar keputusan menteri menerusi semakan kehakiman.

Malah pemohon juga boleh mendengar keputusan menteri sebelum tindakan membatalkan dan menggantungkan lesen melalui pindaan Seksyen 13B.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan bahawa kerajaan menghapuskan keperluan pembaharuan tahunan lesen penerbitan menerusi penggubalan rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Tiada ulasan: