KUALA LUMPUR, - Pakatan Rakyat menyambut baik keputusan kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) namun membantah pindaan Rang Undang-undang (RUU) yang disifatkan sebagai lebih keras.
Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa perkara dalam RUU Keselamatan 2012 bercanggah dengan prinsip menghormati demokrasi.
Beliau merujuk kepada fasal 4 RUU tersebut yang menyentuh tentang kuasa penangkapan dan penahanan.
Ia ada menyebut bahawa mereka yang ditangkap bebas untuk membuat permohonan habeas corpus di mahkamah dan boleh mencabar alasan tahanan dan tatacara tahanan.
Kuasa semakan kehakiman dikembalikan sepenuhnya kepada mahkamah bukan seperti peruntukan dalam ISA yang menghalang kuasa semakan kehakiman kecuali dalam tatacara tahanan.
"Apa yang kita bantah ialah cadangan pindaan peruntukan yang memperkenalkan peruntukan yang lebih keras daripada sebelum ini.
"Sekarang (RUU baru) kita rujuk ke mahkamah tapi semua mandatori. Pendakwa hanya bangun dan katakan tahanan perlu ditahan semula. Hakim tidak ada pilihan.
"Apa beza dengan ISA? ISA guna Jabatan Peguam Negara dan polis untuk tahan orang tetapi sekarang guna mahkamah tapi mahkamah tak ada peranan seperti mahkamah," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Sebelum itu, sewaktu berbahas di dalam dewan, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membawa RUU itu kepada Jawatankuasa Khas Parlimen sebelum dibahaskan.
Katanya, masa sehari yang diperuntukkan untuk membahaskan RUU tersebut tidak mencukupi kerana banyak isu-isu yang berbangkit.
"Saya mengusulkan Perdana Menteri menimbangkan secara serius dalam jawatankuasa khas sebelum kita luluskan dalam waktu yang cukup terbatas.
"Kalau ada semangat nak memperjuangkan demokrasi apa salahnya dirujuk supaya diteliti dan tidak diserahkan hanya kepada kerajaan dan peguam negara untuk diptuskan dan diluluskan dalam masa sehari," katanya.
Terdahulu, RUU Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 dibacakan kali kedua oleh Perdana Menteri.-Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan