Jika Syabas gagal melaksanakan tanggungjawab itu maka kerajaan negeri berhak untuk menamatkan perjanjian konsesi, kata Menteri Besar Selangor.
SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor telah menghantar notis amaran kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) kerana gagal membekalkan air terawat kepada para pengguna.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, jika Syabas gagal melaksanakan tanggungjawab itu maka kerajaan negeri berhak untuk menamatkan perjanjian konsesi.
“Setelah itu, kerajaan negeri akan mengambil alih fungsi Syabas untuk membekalkan air terawat ke seluruh Selangor,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini petang tadi.
Menurutnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 28 Mac lalu dimaklumkan bahawa Syabas gagal menyediakan perkhidmatan bekalan air terawat kepada beberapa pemaju di Selangor hingga menyebabkan pelaksanaan projek-projek mereka terjejas.
“Tindakan Syabas jelas sekali bertentangan dengan terma yang dipersetujui dalam perjanjian konsesi yang ditandatangani kerajaan Pusat,
Negeri dan syarikat konsesi pada 15 Disember 2004,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri memandang berat perkara itu dan jika kegagalan berkenaan terus berlaku maka ia dianggap sebagai satu pelanggaran terma terhadap perjanjian konsesi.
Menurut Abdul Khalid, notis amaran tersebut dihantar pada 29 Mac lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan