Rabu, 4 April 2012

Adun Kuala Nerang muflis : Speaker Kedah tunggu pengesahan Jabatan Insolvensi

Post Pic

ANTARA POS.COM


ALOR SETAR : Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan mendapatkan pengesahan rasmi daripada Jabatan Insolvensi mengenai status sebenar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang mengumumkan dirinya muflis, malam tadi.

Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berkata pengesahan status tersebut penting bagi membolehkan beliau menentukan tindakan seterusnya berhubung perkara berkenaan.

"Selagi tiada pengesahan hitam putih daripada Jabatan Insolvensi, saya tidak dapat membuat sebarang pengumuman kerana tidak dapat memastikan kesahihan status sebenar Syed Sobri," katanya lapor Utusan Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim pada majlis perjumpaan dengan kira-kira 300 ahli dan pemimpin akar umbi UMNO bahagian itu di rumahnya malam tadi mengumumkan dirinya muflis setelah gagal membayar baki hutangnya dengan bank tempatan berjumlah RM8 juta.

Naib Ketua UMNO Bahagian Padang Terap itu berkata, hutang tersebut adalah sebahagian daripada pinjaman RM50 juta yang diambil pada 1998 untuk membolehkan syarikatnya, Kulim

Enterprise Sdn. Bhd., disenaraikan di papan kedua Bursa Malaysia pada masa itu.

Justeru, Abdul Isa berkata pihaknya akan menyegerakan urusan untuk mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Insolvensi berhubung status Syed Sobri kerana perkara tersebut merupakan keperluan mendesak.

Ditanya apakah perkara yang boleh berlaku ke atas Syed Sobri berikutan pengumuman muflis itu, beliau berkata, ADUN Kuala Nerang itu akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat jika Jabatan Insolvensi mengesahkannya bankrap tanpa dilepaskan.

Tiada ulasan: