Isnin, 9 April 2012

4 menteri disambung senator

Wartawan Sinar Harian


KUALA LUMPUR - Tempoh perkhidmatan empat anggota Kabinet sebagai senator disambung selama tiga tahun hari ini.

Keempat-empat mereka ialah Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Mereka adalah antara lima orang mengangkat sumpah sebagai Senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang hari ini.

Turut mengangkat sumpah senator yang baru dilantik, Datuk Raja Ropiah Raja Abdullah.

Raja Ropiah, 63, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Malaya tahun 1973, merupakan Ketua Wanita Umno negeri Selangor dan Exco Wanita Umno Malaysia.

Semasa bercakap kepada pemberita selepas upacara angkat sumpah itu, Raja Ropiah berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana pelantikan kali pertama itu untuk tempoh tiga tahun.

Katanya, beliau akan memberi perkhidmatan terbaik untuk kepada rakyat khususnya di negeri Selangor.

Jamil Khir, 51, berkata, beliau melihat pelantikan semulanya sebagai Senator sebagai satu amanah yang harus dipikul dengan penuh tanggungjawab dalam meneruskan perkhidmatan kepada rakyat khususnya mengenai perkara berkaitan agama Islam.

"Saya akan melaksanakan dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan negara dan rakyat," katanya.
Beliau berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan dalam pelantikan tersebut. - Bernama

Tiada ulasan: