Jumaat, 24 Februari 2012

SPRM harus beri penjelasan mengapa tiada tindakan diambil terhadap Tajuddin Ramli


PETALING JAYA – PKR hari ini mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis yang masih lagi tidak mengambil sebarang tindakan terhadap bekas Pengerusi MAS, Tan Sri Tajuddin Ramli yang didakwa mereka “dalang” terhadap pelbagai transaksi penipuan sehingga mengakibatkan MAS mengalami kerugian berjumlah RM8 bilion ketika beliau mengetuai syarikat penerbangan tersebut.

Bendahari PKR, William Leong (gambar) menuntut SPRM membuat penjelasan kepada masyarakat mengapa pihak berkuasa berkenaan tidak mengambil sebarang tindakan, sedangkan terdapat bukti kukuh yang jelas menunjukkan kerugian tersebut berpunca daripada Tajuddin.

“Walapun PKR memahami kuasa perundangan bagi Danaharta dan Tajuddin untuk menyelesaikan tuntutan undang-undang terhadap hutang bernilai RM589 juta dalam pembelian saham MAS di luar mahkamah, pihak berkuasa seharusnya tidak mengabaikan laporan polis dan SPRM yang telah dibuat terhadap beliau.

“Beliau telah dituduh menjadi “dalang” disebalik pelbagai transaksi

palsu yang disifatkan sebagai “pelanggaran serius pemegang amanah dan tugas statutori” yang mengakibatkan MAS mengalami masalah kewangan semasa berada di bawah seliaannya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Selayang.

Tambah William, terdapat dua laporan polis yang dibuat MAS terhadap Tajuddin, masing-masing pada 4 dan Januari 2002, dan 4 Mei 2005 di IPD Dang Wangi supaya pihak polis dapat menjalankan siasatan terhadap transaksi palsu yang dilakukan Tajuddin.

“Pertuduhan jenayah yang dibuat terhadap Tajuddin adalah kes serius yang melibatkan 10,000 rakyat Malaysia yang bekerja keras ekoran pengurusan yang lemah beliau,” tegasnya.

Sementara itu, menurut Rafizi Ramli, ekoran daripada kerugian tersebut, MAS menghadapi masalah kewangan selama hampir 10 tahun, dan turut dijangkan terpaksa mengharungi dua hingga tiga tahun lagi untuk memulihkan ekonomi syarikat terbabit.

“Masalah kewangan MAS hanya boleh diselesaikan sekiranya kerajaan kembali kepada punca masalah kehilangan RM8 bilion ataupun menyuntik dana tersebut ke dalam syarikat itu,” kata Pengarah Strategik PKR itu yang turut hadir dalam sidang media tersebut.

Tajuddin sebelum ini berkata beliau hanyalah proksi bagi pembelian saham MAS atas arahan Tun Dr Mahathir Mohamad, namun dakwaan itu dinafikan oleh bekas perdana menteri itu.

“Sekiranya setiap agensi di bawah kerajaan menyelesaikan kes di luar mahkamah, ini secara langsung mengukuhkan dakwaan Tajuddin beliau hanyalah sekadar proksi.

“Sekiranya beliau hanyalah proksi, siapa pihak yang sebenar-benarnya bertanggungjawab memusnahkan masa depan kakitangan MAS?” soal William lagi.

Ekoran daripada kerugian tersebut, MAS terpaksa menyertai Rangka Kerja Komprehensif ( CCF) dengan Air Asia yang mempunyai kepentingan yang berbeza daripada pemegang saham dan pekerja MAS.

Tiada ulasan: