Sabtu, 4 Februari 2012

Simpanan Negeri Melonjak Ke Hampir RM2 billion

Oleh Afeeqa Afeera


SUBANG : Kecekapan dan ketelusan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) dalam mentadbir negeri Selangor sejak 2008 terbukti apabila hasil simpanan tunai kerajaan negeri meningkat kepada RM1.9 bilion.

Ini merupakan peningkatan daripada RM1.2 bilion yang dilaporkan tahun lepas.

Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam ucapannya semasa menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Pekan Subang hari ini.

Menurut Abdul Khalid, pengurusan wang yang beramanah sebagaimana dilakukan kerajaan Selangor membuktikan komitmen PR terhadap pemerintahan yang adil dan tidak berbelah bahagi.

"Ini menunjukkan bahawa negeri Selangor yang ditadbir PR boleh menjaga wang rakyat dengan baik, selaras dengan tema Selangorku : Hasil Negeri Untuk Rakyat. Kerajaan terdahulu (Umno-BN) tidak pernah membela nasib rakyat.

Perkara ini juga sekaligus membuktikan PR boleh mentadbir negeri Selangor jauh lebih baik berbanding kerajaan Umno-BN," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyeru rakyat untuk menerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 yang ditawarkan kerajaan pusat kepada setiap keluarga yang memiliki pendapatan kurang daripada RM3000.

"Rakyat perlu menggunakan peluang yang ada ini untuk segera mengambil bantuan yang diberikan kerajaan persekutuan kerana wang itu adalah hak milik rakyat yang dikembalikan semula.

Saya juga menyeru kepada setiap wakil rakyat untuk sama-sama membantu mereka yang berkelayakan ini segera mengisi borang," tegasnya.

Tiada ulasan: