Selasa, 7 Februari 2012

Selangor Sokong Pusat Rombak Akta Pengurusan Air

Oleh TV Selangor


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyokong pelaksanaan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 yang telah digubal untuk memberi laluan kepada Kerajaan Pusat untuk memperbaiki peraturan yang lebih baik terhadap perkhidmatan air serta penyediaan infrastruktur air.

Tindakan Pusat tersebut secara langsung mengakui kelemahan penswastaan yang sehingga kini gagal menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur air yang berkualiti pada kos yang munasabah kepada pengguna.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya menyokong supaya penyusunan semula industri perkhidmatan air sebagaimanan tindakan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB).

PAAB mengambil alih aset air milik kerajaan negeri Selangor yang bernilai lebih daripada RM12 bilion dan selepas itu menyerahkan operasi perkhidmatan air kepada sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri.

Katanya, SYABAS tidak sesuai dikekalkan sebagai pengendali perkhidmatan air di negeri ini kerana ia telah gagal memenuhi obligasinya di bawah perjanjian konsesi.

Ini termasuk pengurangan peratusan air tidak berhasil (NRW), kegagalan mengadakan program penggantian paip secara mantap dan berterusan, pengumpulan dana awam secara tidak sah menerusi Tabung Budi dan kegagalan bekerjasama dengan juruaudit yang dilantik oleh Kerajaan Negeri.

"Akaun SYABAS yang telah diaudit pada 31 Disember 2010 menunjukkan bahawa syarikat itu menghadapi masalah kewangan. Malah, syarikat induk SYABAS, Puncak Niaga Holdings Berhad dalam kedudukan teknikal PN17, tetapi diberikan pengecualian oleh Bursa Malaysia Securities dari dikategorikan sebagai PN17 dan juga diberikan sehingga 30 Jun 2012 untuk membetulkan kedudukan kewangan.

"Kerajaan Negeri merasakan bahawa penyelesaian yang terpakai bagi memastikan perkhidmatan air berkualiti kepada rakyat Selangor adalah menerusi penstrukturan semula sektor perkhidmatan air di mana PAAB memiliki dan mengembangkan aset air manakala syarikat milik penuh Kerajaan Negeri menguruskan perkhidmatan air.

"Kerajaan Negeri telah bersedia untuk menggunapakai WSIA dan sekarang menunggu Kerajaan Pusat membuat keputusan yang professional atas kepentingan rakyat 5 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya." kata beliau menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tiada ulasan: