Khamis, 16 Februari 2012

‘Saya tunggu kenyataan parasit sokong Anwar’

Golongan parasit dalam PAS yang menyokong agenda politik Anwar sehingga kini hanya berdiam diri sahaja dan tidak berani membuat pendirian kukuh, kata Hasan Ali.



SHAH ALAM: Pengasas Jalur Tiga (Jati) Datuk Dr Hasan Ali mencabar golongan ‘parasit’ dalam PAS memberikan kenyataan menyokong Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung status Palestin-Israel.

Golongan parasit dalam PAS yang disifatkannya sebagai pemimpin yang menyokong agenda politik Anwar selama ini katanya sehingga kini hanya berdiam diri sahaja dan tidak berani membuat pendirian kukuh.

“Saya tunggu kenyataan golongan profesional yang menjadi parasit ini tapi nampaknya tiada seorang pun dalam PAS yang keluarkan kenyataan tentang Anwar,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Katanya, gesaan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu adalah satu perkara yang amat jarang ditimbulkan terutamanya apabila mempersoalkan tindakan Ketua Pembangkang.

Nik Aziz kelmarin mahu Anwar menarik balik kenyataannya yang menyokong usaha melindungi keselamatan Israel seperti yang dilaporkan Wall Street Journal ataupun menyaman majalah itu jika laporan berkenaan tidak benar.

Beliau berkata, gesaan itu dibuat selepas dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Syura Ulama PAS yang juga selari dengan pendirian parti itu supaya tidak mengiktiraf negara Israel.

Anwar dalam temubual bersama WSJ antara lain berkata, beliau menyokong segala usaha untuk menjamin keselamatan Israel sekali gus mengundang kecaman daripada pelbagai pihak.

‘Kalau nak debat biar setaraf’

Sementara itu, ditanya tentang pelawaan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad untuk berdebat secara terbuka mengenai isu ‘parasit’, Hasan berkata dirinya belum bersedia buat masa terdekat.

Tetapi, katanya akan menyahut cabaran itu hanya selepas Jati mencapai tempoh matang namun bukan dengan Khalid Samad.

“Kalau nak debat biarlah setaraf Naib Presiden atau Timbalan Presiden (PAS) dan bukannya dengan orang bawahan,” katanya yang pernah enam tahun memegang jawatan Naib Presiden PAS.

Beliau turut mempertahankan kenyataannya mengenai dakwaan negara republik dalam ceramahnya sebelum ini.

Katanya, dakwaan itu ditimbulkan berdasarkan hasil tulisan dalam blog dan disebut individu tertentu namun enggan mendedahkannya secara terperinci.

Ditanya sama ada mahu meneruskan perjuangan politik dan terus bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13, Hasan berkata keputusan itu akan diumumkannya sejurus selepas Parlimen dibubarkan.

Turut baca:

Teguran Nik Aziz penuh hikmah

Tiada ulasan: