Selasa, 28 Februari 2012

Salahuddin mahu A-G laksanakan tanggungjawab dakwa pengarah NFCorp



KUALA LUMPUR — Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menggesa Peguam Negara mengambil tindakan sewajarnya berhubung cadangan pihak polis supaya mendakwa pengarah Pusat Fidlot Corporation (NFCorp) atas dakwaan pecah amanah dan bertindak atas fakta kes yang dikemukakan polis.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini menjelaskan, pihak polis sudah menjalankan tanggungjawab dengan berkesan apabila mencadangkan perkara itu kepada peguam negara dan beliau seharusnya bertindak kerana bukti-bukti yang dikemukakan sudah jelas.

“Peguam Negara tidak mempunyai pilihan selain mendakwa mereka kerana ia adalah atas saranan pihak polis.

“Polis sudah menjalankan tanggungjawab mereka dengan sangat berkesan, dan peguam negara harus bertindak atas fakta-fakta kes,” katanya di ibu pejabat PAS di sini.

Polis telah memohon kepada Peguam Negara supaya pengarah NFCorp didakwa atas kesalahan pecah amanah selepas pemimpin pembangkang mendakwa sebahagian daripada RM250 juta pinjaman mudah kerajaan telah digunakan untuk tujuan lain.

Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Syed Ismail Syed Azizan telah mengesahkan perkara itu

“Kami mencadangkan Pejabat Peguam Negara supaya semua pengarah NFCorp didakwa atas kesalahan pecah amanah,” katanya kepada The Malaysian Insider.

NFCorp, yang dimiliki oleh suami dan tiga anak Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, merupakan syarikat yang bertanggungjawab menguruskan skandal Pusat Fidlot Nasional (NFC).

NFCorp bagaimanapun semalam melahirkan rasa terkejut dan keliru dengan kenyataan Syed Ismail itu.

Mereka menyifatkan kenyataan itu “terlalu awal”, dan mempersoalkan motif di sebaliknya kenyataan itu dengan mendakwa Syed Ismail bertindak di luar bidang kuasanya.

“NFCorp terkejut dan keliru dengan kenyataan yang terlalu awal oleh Syed Ismail walaupun beliau mengaku siasatan masih berjalan dan masih belum lengkap.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam berkata tindakan mendakwa NFCorp terpulang kepada peguam negara, dan menegaskan tidak semua penyiasatan akan berakhir dengan pendakwaan.

Salahuddin (gambar) berkata, peguam negara mempunyai kuasa mutlak di bawah Perlembagaan untuk memutuskan sekiranya kes itu mempunyai bukti yang kukuh untuk di bawa ke mahkmah.

NFC mula menjadi topik hangat setelah syarikat itu tersenarai dalam Laporan Tahunan Ketua Audit Negara 2010.

Sejak itu, PKR mula membuat pendedahan berterusan terhadap skandal NFC, termasuk tuduhan penyalahgunaan dana kerajaan jutaan ringgit untuk pembelian tanah, hartanah, dan perbelanjaan tidak berkaitan dengan projek ternakan lembu tersebut.

Sejak pendedahan tersebut dibuat, Shahrizat telah berhadapan dengan tuntutan meletak jawatan termasuk daripada barisan kepimpinan Umno sendiri. Namun beliau enggan melakukan tindakan sedemikian sebaliknya tetap bertegas projek itu tiada kaitan dengan dirinya.

Ketua Wanita Umno itu turut membuat permohonan cuti selama tiga minggu daripada perdana menteri apabila tuduhan rasuah dibongkar. Beliau telah menyambung semula tugasnya sebagai menteri.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Putrajaya akan melantik juru audit bebas bagi menyemak dokumen kewangan NFCorp, namun enggan mewujudkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat NFC.

Tiada ulasan: