Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz
SHAH ALAM : Pendaftar Pertubuhan (ROS) telah dimaklumkan hasrat pimpinan negeri Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) untuk meluluskan undi tidak percaya terhadap presidennya Datuk Zaid Ibrahim.
Pengerusi Kita Kedah, Zamil Ibrahim berkata notis itu sudah dihantar oleh pimpinan Sabah manakala Kedah akan menyusul tidak lama lagi.
Beliau berkata kebanyakan negeri sepakat tidak lagi mahu Zaid menerajui Kita selepas bekas Ahli Parlimen Kota Bahru itu bercadang membubarkan parti itu yang ditubuhkan setahun lalu.
“Namun begitu saya difahamkan Sabah telah menghantar surat kepada Ros…dengan 10 perkara mendesak beliau meletakkan jawatan dan meminta satu EGM undi tidak percaya kepada beliau.” kata beliau.
“Jawatankuasa Kedah yang akan bermesyuarat dua tiga hari lagi, juga akan membuat usul berkenaan dan hantar satu salinan kepada ROS iaitu mendesak satu undi tidak percaya kepada Datuk Zaid Ibrahim dilakukan,” katanya kepada Antarapos.com.
Kelmarin, Zaid bertegas menyatakan hasratnya akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membubarkan Kita sungguhpun langkah itu ditentang oleh pemimpin peringkat negeri parti itu.
Zamil menolak segala alasan Zaid untuk membubarkan Kita termasuk kegagalan parti itu mendapatkan sumber atau menarik ahli atau pun kerana tidak mahu dilihat sebagai menentang Pakatan Rakyat.
“Ramai kepimpinan negeri-negeri tidak bersetuju dibubarkan sebab kita telah menjalankan tugas-tugas…bukannya ada masalah pun,” katanya.
“Kalaulah hendak bubar hanya kerana hendak jaga hati Pakatan Rakyat, kenapa beliau tidak mencadangkan dalam mesyuarat parti KITA mengadakan pertemuan dengan PR dengan membincangkan hala tuju dan bagaimana hala kerja secara bersama,” tanya beliau.
Zamil menggesa Zaid mengimbas kembali janjinya untuk memastikan Kita tidak dipengaruhi mana-mana pihak ketika melancarkan KITA pada 19 Januari tahun lalu.
“Sewaktu KITA ditubuhkan, parti ini berteraskan tidak berpihak kepada mana-mana parti.Saya minta Datuk Zaid imbas kembali kenyataan yang beliau buat sewaktu pelancaran parti KITA ini sewaktu di Dewan Sime Darby di Kuala Lumpur,” katanya.
Zamil berkata pengunduran Zaid tidak akan memberi kesan kepada KITA kerana pemimpin dan ahli parti itu sudah pun muak dengan sikapnya yang tidak pernah berpendirian tetap.
“Kita merasakan dia (Zaid Ibrahim) tidak ada dalam parti ini pun kita mampu bersama teman-teman untuk mentadbir parti ini sebelum kita mencari seorang tokoh. Yang paling penting di sini ialah tokoh yang ada prinsip dan prinsip itu tidak berubah dari bulan ke bulan,” katanya.
“Sebelum ini dia(Zaid) dengan PM (Najib) selepas itu dengan Ketua Pembangkang (Anwar), sekejap lagi dia sokong Najib…, sat lagi sokong orang ini, kita pun ‘tidak faham’ dengan pendirian dia (Zaid Ibrahim),” soalnya.
Zamil menyoal keupayaan Zaid memimpin peringkat pusat Kita. Beliau berkata, berbeza dengan pejabat di peringkat negeri, ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya tidak mempunyai kemudahan asas.
“Bagaimana keadaan pejabat KITA di peringkat pusat? Adakah papan tanda? Ada sistemkah yang begitu baik? Tidak ada...tetapi di Kedah kita ada pejabat, kita ada bilik seminar, kita ada ruangan untuk Setiausaha dan sebagainya.
“Kita ada ruang pejabat dan kita ada papan tanda yang begitu megah. Kita ada bendera di pintu masuk jalanraya di sekitar Sungai Petani,” kata beliau.
“Di Kedah kita sudah cari calon, kita dah buat pelancaran manifesto, kita sudah turun ke pasar-pasar malam, kita sudah buat pelabagi program, tetapi di peringkat pusat apa program yang mereka sudah buat,” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan