Isnin, 13 Februari 2012

Ramasamy Fail Saman RM10 Juta Terhadap The Star, Wartawan

Post Pic

ANTARA POS.COM


KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P.Ramasamy hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM10 juta terhadap seorang wartawan akhbar The Star serta syarikat penerbit akhbar tersebut.
Ramasamy memfailkan saman itu di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil di sini melalui Tetuan A.Sivanesan & Co, dan menamakan wartawan Ian McIntyre dan Star Publications (M) Bhd sebagai defendan.
Saman itu adalah berkaitan dua artikel bertajuk "Distress in DAP continues" yang diterbitkan pada 23 Dis tahun lepas dan "What Ramasamy said in the interview with The Star" yang diterbitkan pada 27 Dis tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ramasamy berkata pada 21 Dis 2011, McIntyre telah mengadakan satu wawancara dengannya di pejabatnya di Pulau Pinang dan artikel itu diterbitkan pada 23 Dis.
Beliau mendakwa artikel itu mengikut makna semulajadinya membawa maksud beliau adalah pemimpin DAP yang mengamalkan rasuah, menyalahgunakan kuasa dan jawatan serta tidak berwibawa.
Ramasamy berkata beliau kemudiannya menafikan perkataan-perkataan itu disebut olehnya melalui sidang akhbar pada 26 Dis lepas. Bagaimanapun, defendan kedua telah menerbitkan sebuah artikel lain pada 27 Dis.
Beliau memohon satu perintah injunksi bagi menghalang defendan-defendan daripada menerbitkan selanjutnya artikel-artikel itu, ganti rugi fitnah sebanyak RM5 juta setiap seorang defendan, ganti rugi keterlaluan, teladan, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Ramasamy mendakwa akibat penyiaran kedua-dua artikel itu, beliau telah djejaskan dengan teruk dalam kedudukannya sebagai pemimpin, reputasi, kepercayaan dan telah dibawa ke dalam skandal awam, kebencian yang amat sangat dan juga penghinaan. - BERNAMA

Tiada ulasan: