Rabu, 1 Februari 2012

Provokasi untuk apikan sentimen kaum, agama- Guan Eng

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, mengutuk tindakan biadap pihak tertentu meletakkan kepala babi di sebuah Masjid di Rawang, baru- baru ini.

Menurut Guan Eng, perbuatan tidak sensitif dan pengecut itu merupakan provokasi yang bertujuan mengapi-apikan sentimen perkauman dan agama, menjelang pilihan raya umum.

“DAP mengecam hebat insiden ini dan berpendirian bahawa tidak ada ruang di Malaysia bagi tindakan-tindakan yang sia-sia dan menjijikkan seperti ini yang bertentangan dengan sifat masyarakat kita yang aman dan berbilang budaya.

“Kami menyeru supaya rakyat Malaysia bertenang dan tidak bertindak balas kerana tindakan ini jelas dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dengan motif yang jahat,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian semalam, kepala babi ditemui di pintu masuk Masjid Nurul Iman pada jam 5.00 pagi oleh ahli jawatankuasa masjid sebaik sahaja mereka membuka pintu pagar utama masjid itu.

Ekoran itu, Guan Eng berkata, pihak berkenaan tidak akan mencapai objektif jahat mereka untuk memecahbelahkan perpaduan kaum di Malaysia.

“Keamanan masyarakat kita tidak akan hancur dek tindakan-tindakan pengecut oleh puak pelampau.

“Kita menyeru agar semua pihak bersatu untuk mengutuk penodaan dan pengotoran mana-mana tempat ibadat, samada masjid, gereja atau kuil, dan berharap kerajaan serta merta menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” tegas beliau.

Tiada ulasan: