Jumaat, 24 Februari 2012

PKR: Tindakan mengenepikan KPF akan merendahkan nilai penyenaraian Felda Global

Rafizi Ramli, Suhaimi Said


Keputusan Barisan Nasional mengenepikan terus pandangan dan penyertaan Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang mewakili kepentingan peneroka dan kakitangan Felda bermakna proses penyenaraian Felda Global Ventures Berhad yang cuba dilakukan akan membelakangkan dan mengorbankan kepentingan penoraka dan kakitangan Felda.

Kerajaan Barisan Nasional memerlukan persetujuan KPF yang kini mempunyai pegangan 51% di dalam Felda Holdings Berhad untuk memindahkan keseluruhan pegangan itu kepada Felda Global Ventures Berhad yang ingin disenaraikan.

Keuntungan sebenar di dalam kumpulan Felda datang dari Felda Holdings Berhad, bukannya Felda Global Ventures Berhad. Bagi tahun berakhir 31 Disember 2010 misalnya, perbandingan perolehan dan keuntungan kedua-dua kumpulan ini adalah seperti berikut:


Perolehan

(RM juta)

Keuntungan Sebelum Cukai (RM juta)

Felda Holdings Berhad

14,900

760

Felda Global Ventures Berhad

3,200

366

Malah, bagi tahun-tahun berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, keuntungan sebelum cukai Felda Holdings Berhad melangkaui RM800 juta, iaitu RM804 juta (2009) dan RM819 (2008).

Rancangan jahat Barisan Nasional adalah untuk memindahkan syarikat-syarikat dan aktiviti perladangan yang menguntungkan di dalam Felda Holdings Berhad dari KPF (yang dimiliki peneroka dan kakitangan) kepada FGVB (yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan). Melalui cara ini, suara peneroka dan kakitangan Felda dalam keseluruhan aktiviti perniagaan dan operasi Felda akan berkurangan, terutamanya apabila kerajaan menjemput pelabur-pelabur lain untuk turut serta membeli saham di dalam FGVB.

Anggaran KEADILAN menunjukkan pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam aktiviti syarikat dan perniagaan Felda Holdings Berhad yang menguntungkan itu akan berkurangan dari 51% sekarang (turut menjadi pemegang saham majoriti) kepada sekitar 42.7% selepas disenaraikan (bertukar menjadi pemegang saham minoriti).

Walau bagaimana pun, keberanian peneroka-peneroka yang menggunakan hak mereka untuk menyekat penyerahan saham KPF di dalam Felda Holdings Berhad kepada FGVB dan kenyataan Tan Sri Isa Samad bahawa kerajaan akan menubuhkan sebuah syarikat khas (SPV) yang mengenepikan KPF bagi tujuan penyenaraian; kini menimbulkan beberapa persoalan:

1. Jika penyenaraian FGVB diteruskan tanpa melibatkan suntikan aset dari Felda Holdings Berhad akibat tindakan mahkamah peneroka, nilai penyenaraian adalah jauh lebih rendah iaitu sekitar RM3 billion sahaja, bukannya RM21 billion seperti yang diwar-warkan kerajaan;

2. Jika ini diteruskan, keuntungan dari penyenaraiaan dan dividen yang bakal diperolehi peneroka pada masa akan datang adalah jauh lebih rendah dari yang disebut-sebut oleh kerajaan sekarang;

3.Penubuhan SPV tersebut membelakangkan KPF dan menunjukkan sikap Barisan Nasional yang tidak menghormati suara peneroka dan kakitangan Felda. Kewujudan SPV itu dijangka akan digunakan untuk secara perlahan-lahan mengambil alih fungsi yang dimainkan oleh KPF; dan

4.Sebarang tindakan untuk menggunakan SPV tersebut bagi menyuntik aset Felda Holdings Berhad adalah bertentangan dengan undang-undang dan mengkhianati peneroka dan kakitangan Felda.

KEADILAN merasakan cara terbaik untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku adalah secara berhadapan dengan peneroka dan kakitangan Felda. KEADILAN bersedia membentangkan hujah-hujah dan analisa kami kenapa penyenaraian ini dikira tidak baik demi kepentingan peneroka dan kakitangan Felda.

Bersempena dengan budaya baru berdebat secara ilmiah yang semakin popular di Malaysia dan memenuhi citarasa rakyat, KEADILAN melontarkan jemputan kepada Dato’ Ahmad Maslan atau Tan Sri Isa Samad untuk turut serta di dalam debat ulung Felda membincangkan penyenaraian FGVB yang akan dianjurkan oleh KEADILAN dalam masa terdekat.

Buat masa ini, sebarang maklumbalas negatif dari mereka berdua membayangkan ketidaksediaan mereka mempertahankan hujah Barisan Nasional di kalangan rakyat.

MOHD RAFIZI RAMLI
Pengarah Strategi

HJ SUHAIMI SAID
Ketua Biro Felda dan Orang Asli

Tiada ulasan: