Selasa, 28 Februari 2012

Perkasa Desak Kerajaan Batal Konsert Erykah Badu

Post Pic

ANTARA POS.COM


KUALA LUMPUR : Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu kerajaan Malaysia membatalkan konsert penyanyi kelahiran Dallas, Texas, Erykah Badu yang dijadual diadakan di ibu negara esok.

“Perkasa juga desak kerajaan batalkan konsert penyanyi tersebut di negara ini pada 29 Februari ini.

“Kita perlu batalkannya kerana penyanyi itu menghina Islam. Di bulan Maulidul Rasul pula.

“Kita tidak boleh biarkan konsert itu diteruskan. Rakyat asing yg menghina Islam untuk apa kita benarkan dia masuk. Kalau penyanyi itu sudah ada dalam negara ini, perlu dihalau keluar segera,” kata setiausaha agungnya, Syed Hassan Syed Ali dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau juga meminta umat Islam yang berhajat utk menyaksikan konsert penyanyi berusia 40 tahun itu esok bagi membatalkan niat mereka jika sayangkan kesucian Islam.

Walaupun, tidak menyatakan apa yang akan dilakukan jika kerajaan gagal membatalkan konsert berkenaan, namun Syed Hassan memberi amaran bahawa kumpulan itu sedang merancang sesuatu.

“Perkasa sedang rancangkan sesuatu. Tunggu dan lihat esok apa yang akan Perkasa lakukan jika konsert penyanyi itu diteruskan,” katanya.

Dalam kenyataan medianya, beliau juga membidas akhbar harian Inggeris The Star kerana dalam ruangan muziknya, akhbar milik MCA itu menyiarkan gambar Erykah Badu yang menunjukkan wajah dan bahagian atas dadanya.

Sebahagian dadanya terdedah dan tertera pelbagai tatu, termasuk perkataan "Allah", di bahagian sisi kiri dan kanan dadanya.

Selain dua tatu kalimah Allah, simbol lain pada dada dan lengannya yang terdedah juga memperlihatkan huruf-huruf dalam bahasa Yahudi dan simbol seakan-akan piramid.

“ Perkasa percaya ia disengajakan. The Star pula sudah berapa kali lakukan hal-hal menghina umat Islam. Perkasa tidak mahu menuntut The Star mohon maaf dan tidak akan memaafkan jika mereka mohon maaf,” katanya.

Menurut Syed Hassan, kumpulan itu mahu kerajaan mengambil tindakan tegas dengan segera ke atas akhbar itu dengan menggantung lesen penerbitannya.

“Sudah banyak kali The Star lalukan penghinaan kepada umat Islam. Perlu dihukum. Hukuman kerana tidak tahu hal-hal sensitif org Islam, kerajaan perlu gantung lesennya,” katanya lagi.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan akhbar lewat petang semalam memaklumkan bahawa The Star telah diminta memberi penjelasan berhubung penyiaran gambar penyanyi wanita Amerika Syarikat itu.

Menurut timbalan menteri berkenaan Datuk Lee Chee Leong, akhbar milik MCA itu juga akan diberi surat tunjuk sebab untuk memberi penjelasan bertulis dalam masa seminggu kepada KDN.

Akhbar itu, pada versi online telah membuat permohonan maaf berhubung gambar yang disiarkan yang didakwa secara tidak diseganjakan pada hari semalam juga.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dihubungi AntaraPos.com semalam menegaskan bahawa pihak berkuasa Islam di negara ini mesti menghalang konsert Erykah Badu kerana penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam di negara ini adalah dilarang sama sekali.

" Selain umat Islam, kita tidak benarkan sesiapa menggunakan kalimah Allah dan itu sudah digazetkan pun,"ujarnya.

Tiada ulasan: