Sabtu, 18 Februari 2012

Penyenaraian FGVH: PAS bawa usul ke Parlimen

Nazri Abdullah,


KUALA LUMPUR: PAS memberi jaminan akan menggunakan segala saluran yang ada bagi mempertahankan aset tanah warga peneroka agar tidak tergadai oleh penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) ke Bursa Malaysia.

Selain saluran mahkamah, Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub (gambar) berkata, seluruh ahli parlimen PAS juga akan memperjuangkan perkara itu pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula Mac ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menambah, perkara itu juga akan menjadi tajuk perbahasan utama ahli parlimen PAS pada sesi parlimen akan datang ini.

"Bagi kita, aset warga Felda ini penting untuk dibela agar ia tidak tergadai.

"Kita juga akan membawa usul dalam sesi parlimen akan datang agar perkara ini dapat dibincangkan," katanya yang juga Ketua Whip Parlimen bagi ahli parlimen PAS.

Sementara itu, beliau yang juga ahli parlimen Kubang Kerian turut bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan semalam yang membenarkan injunksi interim untuk melarang Koperasi Permodalan Felda (KPF) daripada melupuskan ekuitinya kepada FGVH.

Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas mendengar Saman Dalam Kamar (Ex-Parte) yang dikemukakan lapan pemegang saham KPF.

Selain menghalang pelupusan ekuiti KPF kepada FHVH, mereka juga memohon agar mahkamah melarang pihak KPF berbincang, membuat keputusan dan menguatkuasa sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Keputusan mahkamah itu bagaimanapun tidak menghalang mesyuarat agung khas (EGM) KPF pada 22 Februari ini.

Namun dengan keputusan mahkamah itu, EGM KPF tersebut tidak boleh membincangkan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia.

Jika EGM tersebut tetap membincangkan penyenaraian FGVH, mereka boleh didakwa menghina mahkamah dan dikenakan tindakan undang-undang.

Tiada ulasan: