Khamis, 16 Februari 2012

PAS tolak dakwat berbeza untuk undian awal


MALAYSIA KINI

Dewan Pemuda PAS tidak bersetuju dengan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menggunakan dakwat kekal yang berbeza warna bagi pengundian awal dan pengundian biasa pada pilihan raya umum akan datang.

Ketua Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS Mohd Sany Hamzan berkata ini kerana masih ada ruang untuk manipulasi dan penipuan sekiranya dakwat berbeza ini digunakan.

"Penggunaan dakwat yang berbeza masih lagi tidak akan menyelesaikan masalah pengundi yang berganda.

"Jabatan Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS menegaskan kepada pihak SPR supaya menggunakan hanya satu warna dakwat kekal sahaja di dalam pilihan raya umum nanti selain memastikan buku daftar pemilih pengundi diputihkan dan dibersihkan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof semalam dilaporkan berkata SPR membuat keputusan untuk membezakan warna dakwat kekal bagi undian biasa dan undian awal bagi membantu kelancaran proses pengendalian pilihan raya yang telus, bebas serta bersih sepenuhnya.

Sebanyak 230,000 botol dakwat kekal akan digunakan untuk 12.4 juta pengundi pada pilihan raya umum akan datang manakala 10,000 botol dakwat kekal pula adalah untuk pengundi awal termasuk anggota tentera dan polis serta keluarga mereka. Bernama

Tiada ulasan: