Jumaat, 3 Februari 2012

PAS cari penyelesaian krisis harga barang melalui forum

Harakahdaily,


KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu menganjurkan Forum Kepenggunaan Sabtu esok, 4 Februari bagi membincangkan krisis kenaikan harga barang yang menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Di samping kenaikan harga barang dan kos hidup, kesukaran mendapatkan barangan keperluan harian seperti minyak masak juga bakal dibincangkan dalam forum ini.

Sehingga kini, dua tokoh telah mengesahkan penyertaan mereka dalam perbincangan ini iaitu Datuk Mahfuz Omar, Naib Presiden PAS dan Encik Che Salmi Che Ibrahim, pengurus Pasaraya Sabasum, sebuah pasaraya milik bumiputra di negeri ini.

Ketua Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong akan menjadi moderator kepada forum yang terbuka kepada orang ramai ini.

"Kita akan jadikan forum ini sebagai tapak untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai untuk mengetahui hak mereka sebagai pengguna," kata Dr Azman Ibrahim (gambar), pengarah program in.

Menurut beliau, kenaikan harga barang yang tidak terkawal sejak akhir-akhir ini telah memberi impak yang besar kepada rakyat di negara amnya dan di Negeri Terengganu khususnya.

Kenaikan kos sara hidup jelas memberi tekanan kepada rakyat dalam menjalani kehidupan harian.

Situasi ini boleh memberi banyak impak negatif kepada semua pihak, kata Dr Azman yang juga Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Terengganu.

Atas dasar itulah, katanya, PAS Terengganu mengambil peranan tampil untuk menganjurkan forum bagi menyediakan platform dengan tujuan penyaluran maklumat dan medan menerima maklum balas daripada rakyat berkaitan isu yang menyentuh kepentingan mereka secara langsung.

Forum ini bertemakan ‘Kenaikan Harga Barang, Rakyat Tanggung Bahana’.

Antara Objektifnya adalah:

1. Memberi kefahaman kepada umum,kenapa kenaikan harga barang ini berlaku.

2. Bagaimana kenaikan harga barang memberikan impak kepada kehidupan rakyat.

3. Apakah kenaikan ini natijah dari penyalahgunaan kuasa atau salah urus tadbir oleh pihak berwajib.

4. Membincangkan solusi dan jalan penyelesaiannya

Forum ini akan berlangsung di Markas Tarbiyah PAS Kuala Terengganu, Kuala Ibai, Forum yang akan diadakan pada hari Sabtu, 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, 4 Februari 2012 ini.

Ia akan dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohamad Abdul Wahid Endut yang juga anggota Parlimen Kuala Terengganu.

Tiada ulasan: