Rabu, 15 Februari 2012

Najib: Sijil warganegara bukti k'jaan tak janji kosong


Salhan K Ahmad
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyerahkan sijil kewarganegaraan kepada sejumlah 100 orang masyarakat India, hasil daripada program MyDaftar yang dijalankan pada Februari tahun lalu.

Program berkenaan dilihat sebagai satu lagi usaha kerajaan untuk mendekati golongan itu melalui kempen yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India (SITF).

NONEDalam ucapannya di majlis penganugerahan dokumen tersebut, Najib menyatakan harapannya supaya golongan tersebut akan menunjukkan kepercayaan kepada kerajaan.

"Nambikei pada kerajaan akan membuka harapan baru kepada masyarakat India.

"(Saya) harap masyarakat dengan cara seimbang akan dapat apa yang merupakan hak kepada mereka.

"Sebab itulah kita berpegang pada kepercayaan atau nambikei pada kerajaan," katanya.

Katanya, pemberian status kewarganegaraan itu juga membuktikan bahawa kerajaan tidak sekadar membuat janji kosong semata-mata.

"(Kerajaan) dapat tunaikan janji melalui penyelesaian yang jadi kenyataan," katanya.

NONESeramai 33 orang daripada penerima berkenaan mendapat kewarganegaraan melalui masukkan naturalisasi.

Kelulusan kepada individu berkenaan, mengikut Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan meliputi individu berusia 21 tahun dan telah memegang taraf pemastautin tetap selama lebih 12 tahun.

Seramai 25 orang pula tergolong dalam kategori penduduk tetap Malaysia yang menjadi isteri kepada warga Malaysia -- mengikut Perkara 15(1) Perlembagaan.

Sejumlah 25 orang lagi merupakan individu berusia lebih 18 tahun yang dilahirkan dalam persekutuan Malaysia sebelum hari kemerdekaan 1957 -- mengikut Perkara 16 Perlembagaan.

Sementara itu, seramai 16 orang lagi menerima kewarganegaraan mengikut Perkara 15(2) Perlembagaan yang memperuntuk kelulusan bagi keadaan khas.

Satu lagi taraf kewarganegaraan yang diluluskan itu mengikut Perkara 15(2) Perlembagaan yang memperuntuk hak warganegara oleh ibu, bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berusi 21 tahun.

NONEDalam ucapannya, Najib turut mengingatkan warga baru itu supaya setia kepada negara dan turut "menjayakan transformasi negara."

Najib berkata beliau turut gembira kerana program yang diketuai menteri sumber manusia, Datuk Dr S Subramaniam itu membuahkan hasil.

Sebanyak 9,529 permohonan dokumen daripada anggota masyarakat berkenaan berjaya diproses melalui kempen MyDaftar sehingga akhir tahun lalu.

Tiada ulasan: