Jumaat, 10 Februari 2012

Mahkamah tetapkan 24 September dengar saman Aziz Bari

MALAYSIA CHRONICLE



KUALA LUMPUR-Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan dua hari mulai 24 September untuk mendengar saman fitnah yang difailkan oleh bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Dr Abdul Aziz Bari terhadap Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, Datuk Zulkifli Noordin dan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd.

Hakim Datin Zabariah Mohd Yusuf menetapkan tarikh itu selepas berjumpa kedua-dua belah pihak di dalam kamarnya bagi pengurusan kes itu hari ini.

Peguam Rohanidah Shafee yang mewakili Utusan Melayu memberitahu pemberita hakim memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan dokumen berkaitan bagi perbicaraan kes itu sebelum 13 April.

Pada 22 Disember tahun lalu, Abdul Aziz memfailkan saman menamakan Zulkifli, yang juga seorang peguambela dan peguamcara; Ketua Pengarang kumpulan akhbar Utusan Malaysia dan juga akhbar Mingguan Malaysia, Datuk Abdul Aziz Ishak; dan Utusan Melayu sebagai defendan.

Beliau mendakwa Zulkifli pada 17 Oktober 2011 mengeluarkan kata-kata fitnah mengenainya yang kemudiannya diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia sehari selepas itu.

Abdul Aziz mendakwa, kata-kata fitnah itu adalah secara langsung merujuk kepadanya kerana nama dan jawatannya telah disebut secara spesifik dalam artikel itu.

Beliau berkata, kata-kata fitnah itu di dalam makna asal dan biasa bermaksud beliau antara lain adalah seorang individu dan profesor undang-undang yang kurang ajar dan biadab serta tidak layak menjadi pensyarah undang-undang.

Abdul Aziz menuntut ganti rugi am, teladan, melampau, kos dan satu perintah supaya defendan-defendan meminta maaf dan menarik balik tuduhan fitnah itu.- BERNAMA

Tiada ulasan: