Selasa, 7 Februari 2012

KITA Pecat Pengerusi Kedah, Pulau Pinang

Post Pic




SHAH ALAM : Krisis dalaman Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) semakin meruncing apabila parti itu memecat Pengerusi Kedah dan Pulau Pinangnya berkuat kuasa serta-merta kerana didakwa melanggar peraturan-peraturan parti.
Keputusan memecat Tan Tee Beng (Pulau Pinang) dan Zamil Ibrahim (Kedah) diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin malam tadi, Pegawai Perhubungan Pusat KITA, Aziz Kadir mengesahkan.
"Mereka dipecat kerana terlalu kerap mendahului presiden dan kepimpinan pusat,,,macam Hasan Ali,” kata beliau merujuk kepada bekas Exco Kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat oleh Pas sebelum ini,” kata beliau kepada Antarapos.com.
“Pengerusi Kedah dan Pulau Pinang ini yang selalu mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang memburukkan pimpinan parti, jadi ini tidak betul,” tambah beliau.
Aziz berkata, tindakan Zamil dan Tee Beng bertikam lidah dengan Zaid secara berterusan hanya mendatangkan kesan buruk kepada parti, jadi lebih elok mereka keluar.
“Bila disuruh Zaid Ibrahim letak jawatan, ini adalah satu perbuatan yang tidak beretika, bodoh dan biadap. Sepatutnya jika tidak bersetuju dengan Ketua Parti, (mereka) keluar sajalah, sekurang-kurangnya yang tinggal ini boleh aman,” katanya.

Dalam reaksi spontan, Zamil berkata beliau tidak mengiktiraf pemecatan itu dan akan meneruskan tugasannya sebagai Pengerusi Kita Kedah seperti biasa.
“Saya dan Tan Tee Beng mempunyai sokongan yang jauh lebih kuat daripada ahli dan pemimpin Kita yang tidak mahu parti ini dibubarkan,” kata beliau.
“Yang hendak bubar parti ini (Zaid), kenapa saya dan Tan Tee Beng pula dipecat? Saya dan Tan Tee Beng yang cuba menghalang parti ini dibubarkan, ini satu kesalahan ke? Jadi yang hendak bubarkan tu tidak bersalah lah?,” ujar beliau.
Zamil dan Tee Beng melontarkan kritikan pedas terhadap Presiden KITA Zaid Ibrahim, khususnya selepas Zaid bercadang membubarkan Kita menerusi sebuah mesyuarat agong luar biasa tidak lama lagi.
Selain mereka berdua, pimpinan Kita di beberapa negeri, termasuk Sabah dan Johor juga menolak cadangan Zaid itu malah mahu mengusulkan undi tidak percaya terhadap beliau.
Zamil dan Tee Beng mempunyai 14 hari untuk merayu pemecatan mereka kepada Jawatankuasa Eksekutif parti.
Zaid berkata lebih baik KITA dibubarkan kerana ia gagal menarik ahli dan kurang sumber pembiayaian.

Beliau berkata pembubaran itu juga akan mengatasi keraguan bahawa KITA tidak menyokong Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum akan datang.
Beliau mendedahkan persepsi sedemikian timbul kerana kritikan yang sering dilontarkan oleh Zamil dan Tee Beng terhadap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Tiada ulasan: