KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa Polis Di Raja Malaysia mengumumkan perkembangan terbaru siasatan penyelewengan dana RM250 juta oleh National Feedlot Corporation (NFC).
Menurutnya, sewaktu beliau menyerahkan dokumen berkaitan NFC kepada polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (CCID) Bukit Aman pada 4 Januari lalu, pihak berkuasa itu mengesahkan siasatan sudah 80 peratus selesai.
“Polis perlu beri maklumat samada siasatan masih berjalan, sudah memasuki peringkat akhir, atau kertas siasatan sudah diserahkan kepada Peguam Negara.
“Sampai sekarang saya pun belum dengar apa-apa berita dari polis sedangkan saya sudah serahkan semua bukti kepada polis.
Pada 19 Januari lalu, Jabatan Peguam Negara memaklumkan telah memulangkan semula kertas siasatan skandal syarikat berkenaan dan mengarahkan pihak polis meneruskan siasatan serta mengemukakan laporan terperinci.
Skandal NFC mencuri perhatian ramai apabila syarikat itu yang dimiliki ahli keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil menyelewengkan sebahagian pinjaman mudah yang diberikan.
Gagal memenuhi permintaan daging lembu bagi pasaran tempatan, syarikat itu sebaliknya membeli dua unit kondonomium di Bangsar, tiga unit kondonminium di Singapura, dua lot tanah di Putrajaya dan kereta mewah.
Semua harta berkenaan diletakkan di bawah nama suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang juga Pengerusi NFC dan anak-anak mereka.
Jumlah keseluruhan harta peribadi keluarga Shahrizat yang ditampung dana NFC sehingga kini berjumlah RM62 juta.
Malah, wang RM250 juta pinjaman mudah yang diterima dari Kerajaan Persekutuan juga tidak disertakan dengan jadual pembayaran balik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan