Rabu, 22 Februari 2012

Kalau poster Pakatan tak sampai sehari kena buang

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan melahirkan kekesalan terhadap segelintir pihak yang suka mengambil sikap ‘membaling batu sembunyi tangan’ dengan menampal poster-poster serta menggantung kain rentang berunsur fitnah yang memburukkan pemimpin Pakatan Rakyat dengan pelbagai tuduhan tidak berasas beberapa hari kebelakangan ini.

“Sejak kebelakangan ini, bandaraya Kuala Lumpur seolah-olah dihujani dengan pelbagai poster serta sepanduk fitnah yang menuduh PAS dan pemimpin Pakatan Rakyat sebagai menyokong kezaliman Zionis Israel, kata ketua penerangannya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz .

Bagi PAS WP, katanya tindakan itu merupakan suatu sikap yang tidak sihat kerana boleh mewujudkan kegelisahan dan kemarahan rakyat, juga boleh mencetuskan pertelingkahan yang lebih buruk di dalam masyarakat.

Lebih dari itu, ujarnya tiada pihak dicatatkan sebagai penerbit sepanduk terbabit, menunjukkan tidak ada pihak yang berani bertanggungjawab dalam sebaran fitnah.

Tambahnya, PAS WP kecewa kerana budaya memfitnah menjadi suatu amalan sesetengah pihak dalam masyarakat.

Beliau berkata, demi kepentingan politik sempit, mereka sanggup melemparkan fitnah meskipun mengetahui fakta yang dikemukakan tidak benar sama sekali.

PAS WP juga, ujarnya kesal kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) lambat bertindak dalam memastikan poster dan sepanduk itu diturunkan, seolah-olah usaha yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini dibiarkan berleluasa supaya semua rakyat boleh membacanya.

“Sepatutnya poster dan sepanduk seperti ini tidak boleh dibiarkan lama di kawasan bandaraya ini.

“Ia adalah sampah yang menyemakkan bandaraya dan perlu dibuang segera kerana mencemarkan pemandangan,” katanya.

PAS WP juga, tambahnya meminta PDRM supaya mengesan dan menjejak individu tidak bertanggungjawab menampal atau menggantung sepanduk-sepanduk ini.

PAS WP, katanya membayangkan jika poster dan sepanduk yang sama ditampal atau digantung oleh penyokong PAS dan Pakatan Rakyat di sekitar ibu negara sudah pasti tidak sampai sehari, kesemua akan diturunkan oleh pihak berkuasa tempatan manakala pelakunya diambil tindakan keras.

“Akhirnya, PAS WP menasihati pihak tertentu supaya bersikap berani dalam menghadapi isu ini.

“Jika mereka merasakan mereka di pihak yang benar, mereka mesti berani berhadapan dan mengemukakan hujah secara jelas supaya rakyat boleh menilai satu persatu,” katanya.

Tiada ulasan: