Pengerusi penaja Jalur Tiga (JATI) Datuk Hasan Ali berkata, NGO yang ditubuhkannya bukan pesaing kepada pihak lain, khususnya PERKASA memandangkan objektif penubuhan mereka yang sama.
Sebaliknya, kata Hasan, kewujudan JATI dan kumpulan pendesak Melayu itu menjadi "pelengkap dan menghargai" antara satu dengan lain.
JATI yang berperanan untuk mengagungkan Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mempertahankan institusi Raja akan dirasmikan pada 21 Februari ini dengan motto
"Gerakan Memartabatkan Umat".
"Saya tidak bimbang, tidak ragu-ragu dan tidak ambil concern over duplication... Yang penting kita mengamalkannya.
"Kita compliment dengan mana-mana badan yang menjunjung Islam, Melayu dan Raja-raja. Aasalkan ada tiga elemen ini, kita sedia bekerja sama," katanya.
Menurutnya, majlis pelancaran tersebut akan berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada tarikh 21 Februari jam 2 petang yang akan diserikan, antaranya persembahan musik angklung mengiringi lagu nasyid Asma al-Husa dendangan pelajar.
Ia juga akan turut diserikan dengan persembahan monolog penyair dan penggiat seni Nuri Angkasa serta persembahan multimedia dan video mengenai JATI.
Hasan yang akan merasmikan penubuhan JATI berkata, pihaknya mensasarkan kehadiran kira-kira 1,000 jemputan.
Menurut Hasan, JATI akan menjanakan tiga perkara penting, iaitu mengagungkan agama Islam di Malaysia, mengamal dan menentukan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW yang mempunyai elemen akidah, syariah dan akhlak.
Selain itu, JATI juga mahu memartabatkan Melayu termasuk menjalankan aktiviti dan membangunkan keserasian kaum bumiputera dan Melayu di Malaysia serta mahu generasi
muda memahami tugas dan tanggungjawab institusi raja serta mempertahankan institusi itu dalam konteks perlembagaan.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ketua eksekutif JATI, Datuk Aidit Ghazali serta tonggak utama NGO itu, Nor Azizan Abdul Majid.
Hasan berkata, keahlian JATI dibuat melalui talian mulai tarikh pelancarannya atau orang ramai boleh mengisi borang keahlian, yang menurutnya, mendapat sambutan rakyat sepanjang berlangsung siri jelajahnya.
Negeri Perak adalah negeri pertama akan melancarkan JATI di peringkat negeri pada 27 April ini.
Katanya, beliau tidak mahu NGO yang ditubuhkannya terlibat dengan politik dan beliau tidak ada masalah jika ahli JATI mahu bertanding dalam pilihan raya melalui parti masing-masing atau sebagai calon bebas.
"Tidak boleh membawa logo, nama yang membabitkan JATI dalam gelanggang politik," katanya.
Sementara itu, Aidit berkata 1,000 jemputan itu di majlis pelancaran JATI minggu depan terdiri daripada kumpulan NGO belia, wanita, usahawan serta kumpulan profesional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan