Rabu, 15 Februari 2012

Henti bekalan ke Iran bukti ikut telunjuk Zionis

Kenapa perlu menghentikan penghantaran (minyak kelapa sawit) tersebut sedangkan Iran adalah sebuah negara Islam seperti juga Malaysia?



PETALING JAYA: Keputusan Malaysia menghentikan bekalan minyak kelapa sawit ke Republik Islam Iran membuktikan pimpinan negara mengikut telunjuk Amerika Syarikat dan Zionis antarabangsa untuk mengenakan sekatan ekonomi terhadap negara itu.

“Penghentian penghantaran ini melibatkan 30,000 tan minyak sawit yang merupakan sebahagian dari keperluan Iran bagi setiap bulan,” kata Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin @ CheguBard dalam satu kenyataan media.

MalayReuters edisi US melaporkan, pengeksport minyak kelapa sawit dari Malaysia telah menghentikan dari membekalkan minyak kelapa sawit kepada Iran yang merupakan sebuah negara Islam.

Beliau menyoal, kenapa perlu Malaysia menghentikan penghantaran tersebut sedangkan Iran adalah sebuah negara Islam seperti juga Malaysia?

Menurutnya, punca sekatan terhadap Iran ialah kononnya untuk menghentikan program pembinaan senjata nuklear oleh Iran sedangkan perkara ini telah berulang kali dinafikan oleh Iran.

“Jika benar sekalipun Iran merancang untuk membina senjata nuklear, negara yang paling terancam ialah negara haram Yahudi iaitu Israel. Ini kerana Iran pernah mengugut untuk memusnahkan negara haram tersebut,” ujar beliau.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional menyertai sekatan dagang terhadap Iran sambil menjadi rakan dagang penting Israel adalah identiti sebenar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Itulah identiti sebenar Najib dan Umno. Di hadapan rakyat beragama
Islam mereka bercakap tentang Islam. Di belakang rakyat

beragama Islam mereka menjadi rakan dagang penting Israel.

“Bukan setakat itu sahaja, kerajaan Najib menjadi pencacai Yahudi apabila menyertai sekatan dagang terhadap Iran,” katanya dipetik dari keluaran terbaru Harakah.

Tiada ulasan: