Rabu, 1 Februari 2012

Hassan Ali "Masih Fikir" Rayu Pemecatannya

Post Pic

ANTARA POS.COM


BANDAR BARU BANGI – Selepas menyelar kalangan pemimpin Pas sebagai parasit, Bekas Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata beliau belum membuat keputusan samada akan merayu tindakan parti itu memecat beliau awal bulan lalu.

Tarikh akhir untuk beliau berbuat demikian adalah 7 Februari. Ketika berceramah di Bandar Baru Bangi semalam, Hasan berkata beliau akan membuat keputusan dalam beberapa hari lagi.
"Saya akan putuskan dalam beberapa hari sama ada akan merayu atau tidak. Tetapi sebelum itu, saya nak tanya pendapat penduduk Bangi... adakah saya patut merayu atau tidak?" soalnya sambil dijawab "tidak".

Sekitar 500 orang hadir pada ceramah yang diadakan di Padang Balai Pahlawan.

Kelmarin Hasan menamakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor dan Ahli Parlimen Khalid Samad sebagai parasit dalam parti itu yang dimaksudkan beliau sebelum ini sebagai perosak parti dan agama.

Hasan dipecat daripada Pas pada 8 Januari lalu dan kurang seminggu kemudian digugurkan sebagai Exco Agama, Adat Melayu, Kemudahan Awam dan Infrastruktur.

Beliau mendakwa Pas kini dibawah telunjuk Parti Keadilan Rakyat dan ini diserlahkan dengan keputusan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil alih portfolio agama daripada Pas.

Malam tadi, selain Hasan, turut hadir sama memberikan ceramah ialah bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hassan Basri.

Dalam ceramahnya itu, Hasan turut mempertikaikan tindakan Pas menghalang usahanya mengekang penjualan arak di Selangor pada tahun 2008.

"Saya berasa hairan. Tuan-tuan tahukan macam mana saya memerangi arak? Jadi, siapa yang halang saya? Kalau DAP atau PKR yang nak halang saya, saya boleh faham. Tetapi bekas parti saya sendiri yang halang. Saya tak boleh terima," katanya.

Sambil mempersoalkan kembali tindakan Pas memecat beliau, Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia ini berkata, beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan yang membawa tindakan sedemikian.
"Kesalahan saya bukan meliwat orang. Kesilapan saya bukan gila kuasa. Tetapi kesalahan saya kerana melaksanakan enakmen jenayah Syariah.

Hasan menggesa rakyat untuk memberikan sokongan penuh kepada usahanya menubuhkan gabungan pertubuhan bukan kerajaan bergelar Jati untuk membawa wadah perjuangan agama, hak orang Melayu Raja-Raja Melayu yang bebas daripada politik sempit kepartian.

Jati akan dilancarkan pada 21 Febuari ini.

Tiada ulasan: