Sabtu, 18 Februari 2012

GST untungkan peniaga besar, rakyat merana- Azan

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hanya menguntungkan peniaga besar, sedangkan peniaga kecil dan rakyat akan terbeban dengan peningkatan harga barang dan perkhidmatan secara tidak langsung.


Beliau mengulas pengumuman kementerian kewangan untuk melaksanakan cukai tersebut selepas mendapat persetujuan daripada komuniti perniagaan, termasuk industri kecil dan sederhana di negara ini.

“Ia membuktikan kerajaan memang mahu melaksanakan GST. Yang akan bersetuju jika GST dilaksanakan ialah peniaga dan pedagang besar yang sudah tentu mendapat rebat dari kerajaan dan subsidi khas seperti pengilang tepung, pengilang beras, minyak masak dan sebagainya.

“GST ini pada mereka umpama keluar poket kiri, masuk poket kanan dan tidak akan memberikan kesan.

“Mereka yang mendapat kesan dari segi kewangan ialah peniaga kecil dan orang ramai kerana mereka tidak layak mendapat rebat dan subsidi khas. Rakyat akan merana dengan peningkatan harga barang dan perkhidmatan secara tidak langsung,” ujar beliau.

Menurutnya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa cukai tersebut dilaksanakan untuk mengikut standard antarabangsa, apabila 134 negara seluruh dunia turut melaksanakan sistem cukai tersebut.

“Tetapi dalam pendapatan boleh guna rakyat, kenapa tidak ikut standard antarabangsa? Kenapa tidak ikut standard pendapatan boleh guna rakyat di luar negara yang dua tiga kali ganda lebih tinggi?” Soal beliau.

“Ketika gaji dan pendapatan rakyat tidak meningkat, kos sara hidup tinggi dan status kehidupan rakyat pula akan merosot,” ujarnya.

Bacaan kali pertama rang undang-undang tersebut dibuat pada 16 Disember 2009 dengan kadar GST yang ditetapkan ialah 4.0 peratus.

Bagaimanapun, laporan dewan-dewan perniagaan menyatakan 80 peratus komuniti peniaga masih belum bersedia jika GST dilaksanakan di negara ini

Tiada ulasan: