KEADILAN DAILY
KUANTAN : Gabungan Hentikan Lynas menyokong sepenuhnya Himpunan Hijau yang akan diadakan secara besar-besaran pada 26 Febuari ini, kata pengerusinya, Andansura Rabu.
Katanya, himpunan berkenaan bertujuan menggabungkan usaha semua pihak dan pertubuhan untuk memberhentikan projek Lynas Advanced Material Plant (LAMP), menyemak semula projek yang mengancam keselamatan orang awam serta bercanggah dengan semangat Piagam Bumi (Earth Charter).
“Maka berdasarkan hasrat rakyat untuk memberhentikan projek LAMP dan semangat solidariti kepada mangsa serta pertubuhan lain yang memperjuangkan keadilan alam sekitar, SLC mengumumkan komitmen dan sokongan sepenuhnya kepada Himpunan Hijau 2.0,” ujar Andansura.
Menurutnya lagi, pihaknya juga akan menggerakkan 20 NGO di bawah gabungannya menyertai himpunan itu di Padang Majlis Perbandaran Kuantan.
Dalam kenyataannya hari ini, Andasura berkata, SLC mengecam sekeras-kerasnya sikap keras kepala kerajaan pimpinan Umno-BN yang bertindak meluluskan Lesen Kendalian Sementara (TOL) kepada Lynas, 1 Feb lalu.
Tegasnya, isu berkenaan Permanent Disposal Facility (PDF) mesti diselesaikan terlebih dahulu sebagaimana yang dibantah oleh masyarakat sebaik sahaja meneliti dokumen yang dipamerkan kerajaan.
“Malangnya, jelas bahawa kerajaan UMNO/BN dan agensi yang di amanahkan untuk menjaga kedaulatan tanahair tercinta ternyata telah gagal dan mengkhianati amanah yang di berikan oleh rakyat,” ujarnya.
SLC sebelum ini turut menyertai Himpunan Hijau 1.0 yang berlangsung pada 9 Oktober 2011 di Kuantan.
Program yang amat berjaya itu telah melibatkan lebih daripada 80 NGO, gerakan sivil dan parti politik yang disertai hampir 7000 penyokong.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan