KUALA LUMPUR – Ketidaktentuan ekonomi global tahun ini ditambah dengan keputusan berhubung dasar-dasar yang sukar, dijangka menjadikan tinjauan hadapan 2012 sangat kritikal terutamanya yang membabitkan negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China.
Ketua Strategi Pelaburan Standard Chartered Bank, Steve Brice berkata, permulaan bagi tahun 2012 adalah lebih buruk berbanding awal tahun lalu yang di mana Eropah masih belum mampu menyelesaikan masalah hutangnya dan ia dijangka diheret kepada kemelesetan.
Dengan itu, menurut beliau, Standard Chartered memperkenalkan strategi yang dipanggil VIP bagi mengemudi ekonomi di dalam iklim yang tidak menentu ini.
VIP yang terdiri daripada akronim kemeruapan, inflasi dan bayaran merangka strategi bagi membolehkan setiap kemeruapan diuruskan dengan baik, menghalang inflasi dan terakhir adalah memastikan setiap pelaburan mendapat bayaran ataupun pulangan.
Mengulas lanjut, Brice berkata, pasaran pada tahun ini sangat tidak menentu selain ditentukan oleh polisi, sebarang perubahan terhadap polisi akan mendorong kenaikan atau penurunan pasaran.
Katanya, portfolio yang boleh mengurangkan risiko negatif perlu direka dan pada masa sama pelabur perlu meneruskan pendedahan yang mencukupi bagi membantu pemulihan semula.
“Ini termasuk strategi alternatif yang membenarkan pengurus dana untuk memilih pelaburan jangka panjang dan pendek kerana kemeruapan yang diurus dengan baik adalah kunci utama bagi memulihkan semula ekonomi,” katanya.
Kumpulan pelaburan yang menjadi pilihan beliau adalah ekuiti, komoditi dan bon yang mempunyai pulangan tinggi.
Tambah Brice, bagi mengekang inflasi pula, emas dan ekuiti emas kekal sebagai pelaburan pilihan bank tersebut untuk mengurus ancaman kehilangan kuasa beli.
Ini kerana menurut beliau, inflasi sering menjadi ancaman kepada penyimpan.
Di bawah strategi ketiga iaitu mendapatkan pulangan, Brice mencadangkan agar pelabur mempelbagaikan pelaburan yang menjadi kunci utama kejayaan pelaburan pada tahun ini.
Beliau juga melihat pelaburan yang dijana tunai seperti ekuiti yang membayar dividen tinggi serta bon dengan hasil tinggi sebagai pilihan kerana ia mampu memberi prestasi positif ketika pertumbuhan ekonomi perlahan sekali gus memberi peluang kepada pelabur untuk menikmati faedahnya.-Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan