Jumaat, 24 Februari 2012

Dakwa Hasan Dibiayai : Khalid Harus Sertakan Bukti - Timbalan Presiden Jati

Post Pic

ANTARA POS.COM


SHAH ALAM : Timbalan Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Aidit Ghazali menyelar Khalid Samad yang mengeluarkan kenyataan hanya berdasarkan cakap-cakap kedai kopi berhubung pembiayaan oleh Syabas dan Puncak Niaga ketika pelancaran Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) itu awal minggu ini.

Tindakan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor itu menurut Aidit boleh mendatangkan fitnah kerana apa yang dinyatakan tidak disokong oleh sebarang bukti.

" Saya tak suka untuk komen perkara yang berdasarkan cakap-cakap belakang. Kalau sesiapa hendak majukan apa-apa, biar dia keluarkan bukti yang nyata,"katanya kepada AntaraPos.com.

" Kita dalam Islam pun, tak boleh cakap-cakap belakang. Nanti ia akan menimbulkan fitnah, buat dosa. Saya tidak mahu terlibat dalam semua itu,"tambahnya lagi.

Khalid pada satu sidang media di pejabatnya hari ini meminta Presiden Jati, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali menjawab sama ada benar atau tidak dakwaan itu.

Hasan dikatakan membelanjakan kira-kira RM30,000 hanya untuk melancarkan NGO itu di Pusat Konvesnyen Shah Alam (SACC) Selasa lalu.

“Sewa SACC … tak kurang daripada RM30 ribu..itu belum lagi termasuk perbelanjaan lain begitu juga dengan roadshow yang dilakukan (oleh Hasan),” kata beliau.
“Jadi timbul persoalan yang merupakan perbincangan di peringkat kedai kopi, siapa biayai Hassan Ali," soal Khalid.

Menurut Khalid lagi, cakap-cakap belakang juga menyebut, antara nama syarikat yang dikatakan membiayai Hasan Ali ialah Puncak Niaga dan Syabas.

Kedua syarikat ini dikatakan tidak mempunyai masalah untuk membiayai Hasan sehingga RM100 juta kerana mereka bakal mengaut keuntungan lebih RM1 bilion jika Selangor jatuh ke tangan Barisan Nasional.

Pengurus Besar Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som ketika dihubungi AntaraPos.com menyifatkan dakwaan Khalid sebagai mengarut dan bersifat mainan politik.

" Ini tidak ada kena-mengena. Mengarut. (Jati) tidak ada kena mengena dengan Syabas. Kita tak campur urusan politik,” ujar beliau.

Tiada ulasan: