"Kami ingin memohon maaf pada Datuk Seri Azizan di atas penyiaran bahan tersebut sekiranya bahan tersebut menyinggung hati Datuk Seri," kata Ketua Pengarang KL-Today.
PETALING JAYA: Sebuah laman portal KL-Today memohon maaf kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berikutan laporan perletakan jawatan yang disiarkan pada Selasa lepas.
Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pengarang KL-Today berkata kandungan laporan ‘ Dalam 3 jam, Azizan bakal letak jawatan?’ itu asalnya diambil sepenuhnya daripada sumber laman portal mynewshub.my.
“Kami ingin memohon maaf pada Datuk Seri Azizan di atas penyiaran bahan tersebut sekiranya bahan tersebut menyinggung hati Datuk Seri.
“Kami berjanji di masa hadapan akan lebih bertanggungjawab di atas penyiaran bahan-bahan berita terutamanya melibatkan isu politik di negara ini,” katanya.
Laman portal itu turut menafikan dakwaan terlibat secara rasmi atau berkomplot dengan sesetengah pihak yang cuba menjatuhkan Datuk Seri Azizan sebagai Menteri Besar Kedah.
“Untuk pengetahuan semua, di KL-Today.com, kami melakukan yang terbaik supaya menjadi adil dan telus untuk menyiarkan berita politik yang tidak berpaksi pada satu-satu kumpulan sahaja di negara ini.
“Kami yakin bahawa rakyat Malaysia sudah terlalu bijak untuk menilai bahan berita terutamanya melibatkan khabar angin,” katanya.
Sementara itu, Azizan dipetik Bernama menafikan spekulasi dirinya mahu meletakkan jawatan dan menganggapnya sebagai satu serangan psikologi oleh orang yang takut akan kepimpinan dan tindakan tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan