Jumaat, 10 Februari 2012

Akaun Pathmanabhan dibekukan


Yvonne Tiong

UTUSAN ONLINE

SHAH ALAM. - Seorang saksi hari ini memberitahu bahawa akaun persendirian dan akaun syarikat firma guaman milik N. Pathmanabhan yang merupakan tertuduh pertama dalam kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, di Hong Leong Bank telah dibekukan pada September dua tahun lalu.

Pengurus Operasi Hong Leong Bank Cawangan Banting, Yvonne Tiong Guat Choo, 39, yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini berkata, pembekuan itu dibuat selepas pihak bank menerima satu surat yang mengarahkan mereka berbuat demikian. Beliau bagaimanapun tidak pasti arahan bertulis itu datang daripada siapa dan tarikh tepat kedua-dua akaun tersebut dibekukan.

''Untuk akaun syarikat, bank ada beritahu tentang pembekuan sebab ada satu lagi rakan kongsi tetapi untuk akaun peribadi tidak,'' katanya semasa disoal balas oleh peguam yang mewakili Pathmanabhan, Manjeet Singh Dhillon.

Saksi pendakwaan ke-98 itu juga bersetuju tiada sebarang transaksi boleh berlaku sama ada kemasukan atau pengeluaran apabila kedua-dua akaun tersebut dibekukan.

Beliau turut mengakui ada berkomunikasi dengan rakan kongsi firma guaman Pathma Nalli & Patners berhubung operasi akuan itu buat kali terakhir pada tahun lalu.

Pathmanabhan yang merupakan bekas peguam dan tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20, R. Matan, 21, dan R. Kathavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47; pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Sementara itu, pegawai penyiasat Asisten Supritendan (ASP) Mohd. Ishak Yaakob, 36, yang menyambung keterangannya hari ini membuat pengecaman beberapa barang kes yang diterimanya sepanjang siasatan kes itu.

Antaranya ialah sampel darah yang diambil daripada ahli keluarga mangsa dan dua keping kad keahlian tertera gelaran 'Datuk Paduka' yang dianugerahkan kepada Pathmanabhan daripada negeri Kelantan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari ke-67 bersambung pada 29 Februari ini.

Tiada ulasan: