Selasa, 14 Jun 2011

Kerajaan tak bersungguh kuat kuasa gaji minimum – bekas Presiden MTUC

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan skim gaji yang munasabah dan manusiawi dengan penguatkuasaan Akta Gaji Minimum, kata bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud.

Beliau menyatakan demikian sebagai respon kepada sikap bermuka-muka kerajaan kerana draf undang-undang bagi pelaksanakan akta tersebut masih tidak dibentangkan sehingga hari ini.

“Kebanggaan memperlihatkan pertumbuhan ekonomi, indeks peningkatan dan angka-angka tidak bermakna jika soal gaji ini tidak diselesaikan.

“Kemiskinan bukan sahaja berlaku di luar bandar bahkan di bandar lantaran pendapatan mereka sekitar RM450 ke RM550. Ini tidak munasabah.

“Malaysia mengatakan ekonominya antara terbaik di rantau ini sedangkan berbanding Brunei dan Singapura, negara ini tidak menguatkuasakan Akta Gaji Minimum. Takrif gaji munasabah sesebuah keluarga ialah RM1,500 ke RM2,000,” katanya di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam sebelum ini berkata, Rang undang-undang Akta Majlis Konsultasi Gaji Kebangsaan akan dibentangkan bagi menggantikan Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 yang berperanan mengkaji isu gaji minimum sektor swasta di negara ini.

Sehingga hari ini, Syed Shahir berkata, tiada siapa pun tahu isi dan bentuk rang undang -undang yang akan dibentang sedangkan sesi Dewan Rakyat hanya berlangsung 10 hari sahaja.

“Selepas hari ini yang akan berbaki 9 hari lagi, adakah Akta yang akan dibentangkan itu mempunyai masa yang mencukupi untuk dibahaskan Ahli-ahli Parlimen?

“Isu ini penting kerana melibatkan nasib jutaan manusia di negara kita,” katanya.

Tiada ulasan: