Jumaat, 10 Jun 2011

Guan Eng: Soi Lek perlu henti bohong bajet Pulau Pinang deficit


KUALA LUMPUR — Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyifatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai “pembohong” kerana mendakwa kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat itu mengalami bajet defisit dan akan menjadi lebih teruk pada tahun depan.

Tegas Lim, dakwaan itu tidak benar kerana kerajaan negeri Pulau Pinang berjaya mencatat rekod lebihan bajet selama tiga tahun berturut-turut sejak Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran dari Barisan Nasional (BN).

Tambah beliau, kerajaan negeri Pulau Pinang mencatat rekod lebihan bajet, tertinggi dalam sejarah iaitu RM88 juta pada 2008, RM77 juta pada 2009 dan RM33 juta pada 2010.

“MCA harus berhenti daripada terus melakukan pembohongan kepada diri sendiri apabila Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengatakan bahawa Pulau Pinang telah membenarkan kenaikan tarif air sebanyak 20 peratus dan kini Pulau Pinang sedang mengalami bajet defisit, di mana akan menjadi lebih teruk menjelang tahun hadapan.

“Perkara ini adalah tidak benar sama sekali kerana kerajaan negeri Pulau Pinang mencatat rekod lebihan bajet untuk tiga tahun berturut-turut sejak mengambil alih tampuk pemerintahan BN pada 2008 atas amalan bebas rasuah dan urus tadbir yang berasaskan CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus),” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, kejayaan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu turut disahkan dalam laporan Ketua Audit Negara selain dipuji Transparency International Malaysia (TI-M) kerana berjaya memerangi rasuah dalam pentadbiran.

Laporan media hari ini memetik Dr Chua mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang sedang mengalami bajet defisit dan akan menjadi lebih teruk pada tahun depan.

Selain itu, Dr Chua juga mengatakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu turut membenarkan kenaikan tarif air sebanyak 20 peratus.

Tegas Lim (gambar), pengurusan kewangan yang baik itu juga berjaya menyelamatkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) daripada muflis.

“Prestasi kewangan kerajaan negeri Pulau Pinang bukan hanya untuk pentadbiran negeri tetapi juga telah menyelamatkan MPSP daripada menjadi muflis.

“Dari tahun 2000 hingg 2007, MPSP terpaksa menanggung defisit setiap tahun di mana, kehilangan RM230 juta yang telah dibelanjakan oleh kerajaan negeri BN sebelum ini dan MPSP berada dalam keadaan muflis secara praktikal semasa Pakatan Rakyat mengambil alih negeri ini.

“Walau bagaimanapun, hanya dalam masa satu tahun, kita berjaya menyelamatkan MPSP daripada terus muflis,” katanya.

Beliau juga berkata dengan pengurusan wang dan pentadbiran yang telus menyebabkan rakyat negeri itu menerima matfaat sepatutnya yang tidak pernah diberikan BN.

“Dengan pengurusan kewangan yang baik telah membolehkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengagihkan RM12 juta setahun kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Sikh. Adakah RM12 juta juga diberikan oleh kerajaan BN sebelum ini?

“Pulau Pinang juga tidak menaikkan tarif air untuk pengguna domestik, malah telah membiayai subsidi yang besar tetapi mengenakan surcaj pemuliharaan air kepada mereka yang membazirkan air. Dr Chua tidak jujur kerana memutarbelitkan perbezaan ini,” katanya.

Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, kenaikan tarif hanya hanya dikenakan untuk perniagaan dan ia setara dengan kos pengeluaran yang digunakan dalam bidang itu.

“Tarif air hanya dinaikkan untuk perniagaan setara dengan kos pengeluaran. Sekiranya Dr Chua tidak gembira dengan kenaikan ini, mengapa beliau tidak menentang kenaikan tarif air di Johor, yang mana tarif air di Johor adalah tiga hingga enam kali lebih tinggi daripada Pulau Pinang?

Justeru beliau menasihatkan Dr Chua agar bercakap berdasarkan fakta bukan membuat pembohongan semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

Tiada ulasan: